X
Selasa, 24 Mei 2022 | 1:37pm

'Pindah keluar lebih RM17 juta bukan untuk pecah amanah' - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau tiada pilihan apabila memindahkan dana RM17,953,185.21 milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya ke dalam akaun firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, keputusan itu dibuat kerana setiausaha eksekutif ketika itu, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang diamanahkan menjaga urusan akaun peribadinya dan yayasan berkenaan didapati kerap melakukan kesilapan dan cuai ketika mengendalikan akaun berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, beliau tidak melakukan pecah amanah dengan membuat pemindahan wang terbabit.

"Apakah pilihan yang saya ada melainkan mencari jalan supaya wang yang ada dalam simpanan semasa di bank iaitu keseluruhan dana Akalbudi dipindahkan ke sebuah firma guaman di mana terdapat akauntan dan pegawai akaun serta penyimpan kira-kira yang bertauliah menjaga akaun pelanggan.

"Maka saya membuat keputusan pemindahan itu dilakukan bukan untuk pecah amanah tetapi menggunakan sebuah syarikat guaman yang mempunyai pegawai yang berketerampilan untuk menjaga akaun pelanggan sebagai pemegang amanah wang Yayasan Akalbudi," katanya.

Ahmad Zahid menjawab berkata demikian ketika menjawab soalan peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, pada sesi pemeriksaan utama ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid yang disoal peguam belanya, berkata dana berkenaan tetap milik yayasan walaupun selepas dipindahkan kepada firma guaman.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Mazlina melakukan banyak kesilapan ketika menguruskan cek, selain tidak menghantar penyata bulanan dan dokumen lain apabila diminta.

Katanya, beliau banyak kali memberikan nasihat dan panduan kepada Mazlina selepas mendapati pegawainya itu tidak mempunyai latar belakang perakaunan, bagaimanapun Mazlina yang juga saksi ke-90 pendakwaan hanya meminta maaf tetapi tetap mengulangi kesalahan sama.

Disoal mengapa dalam banyak firma guaman beliau memilih Tetuan Lewis & Co, Ahmad Zahid berkata, mengenali peguam dalam firma guaman itu selepas diperkenalkan rakannya dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadiri perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi pagi ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadiri perbicaraan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi pagi ini. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Berita Harian X