Isnin, 23 Mei 2022 | 11:07pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA

PM tiba di Tokyo, lawatan sulung ke Jepun

TOKYO: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di ibu negara Jepun di sini, malam ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi ke Jepun, dengan beberapa pertemuan berprofil tinggi diatur bagi memenuhi lawatan enam hari itu.

Lawatan pertama Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu, adalah lawatan paling berprofil tinggi ke negara Matahari Terbit itu selepas lebih dua tahun, susulan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19.

Pesawat membawa perdana menteri mendarat di lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada kira-kira jam 11.10 malam (jam 10.10 malam waktu Malaysia) dan Ismail Sabri kemudian terus dibawa ke hotel penginapannya.

Turut menyambut ketibaannya di lapangan terbang termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor' Azam Mohd Idrus; Ketua Pengarah Hal Ehwal Asia Tenggara Kementerian Luar Jepun, Kano Takehiro dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko.

Ismail Sabri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu Oktober lalu dalam lawatannya ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda sempena Lawatan Kerja Rasmi Perdana Menteri selama enam hari bermula hari ini. - Foto BERNAMA

Lawatan ini adalah lawatan kerja rasmi sulungnya ke Jepun sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021. - Foto BERNAMA
Lawatan ini adalah lawatan kerja rasmi sulungnya ke Jepun sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021. - Foto BERNAMA

Pertemuan secara fizikal itu akan memberikan peluang kepada Malaysia dan Jepun berbincang mengenai inisiatif mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara dua negara dan kolaborasi pelbagai bidang, selain membolehkan kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan berhubung kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau.

Menurut kenyataan Wisma Putra, agenda utama pertemuan Ismail Sabri dan Kishida termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur dan kerjasama pasca COVID-19.

Ketika di Tokyo, Ismail Sabri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia, perhimpunan tahunan pemimpin politik dan ekonomi serta ketua industri dari rantau Asia Pasifik, atas jemputan Nikkei Inc, selain menyampaikan ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo bertemakan "Redefining Asia's Role in a Divided World."

"Lawatan itu mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-Jepun kerana kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) tahun ini," kata Wisma Putra.

Pada 2021, Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan kira-kira RM149 bilion. Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ketiga terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek dilaksanakan bernilai kira-kira RM90.9 bilion.

Wisma Putra berkata, Malaysia dan Jepun akan menandatangani memorandum kerjasama dalam tiga bidang membabitkan industri pesawat udara, pekerja mahir, serta belia dan sukan ketika lawatan itu.

Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu pemimpin korporat dan ahli perniagaan terkemuka dari beberapa syarikat di Jepun bagi menarik kehadiran lebih banyak pelaburan asing.

Selain Saifuddin, Perdana Menteri diiringi beberapa menteri kabinet pada lawatan ini termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem. – BERNAMA

Berita Harian X