Isnin, 23 Mei 2022 | 6:37pm
Idris (depan tiga dari kiri) menghadiri Program Liqa' Mahabbah SDK JAKIM dan sambutan Aidilfitri Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap SDK JAKIM hari ini. NSTP/ Samadi Ahmad.
Idris (depan tiga dari kiri) menghadiri Program Liqa' Mahabbah SDK JAKIM dan sambutan Aidilfitri Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap SDK JAKIM hari ini. NSTP/ Samadi Ahmad.

Tiada cadangan bawa 'The Hood Man' ke Malaysia - JAKIM

BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak bercadang membawa pemberi maklumat dikenali sebagai 'The Hood Man' (Abdullah) yang mendedahkan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal di sebuah loji sembelihan di Australia ke Malaysia bagi tujuan siasatan lanjut dan keselamatan.

Menterinya, Datuk Idris Ahmad, berkata individu itu tidak boleh dibawa ke Malaysia kerana kerajaan tidak ada hak ke atasnya berikutan beliau bukan warganegara, selain sehingga kini dia masih belum dapat dikesan.

Katanya, selepas memberi maklumat kepada atase JAKIM Malaysia di Australia, individu berkenaan gagal dihubungi sehingga kini dan berharap beliau dapat tampil memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan.

"Siasatan masih berjalan dan kita kumpul sebanyak mana bukti serta maklumat bagi melengkapkan siasatan," katanya pada sidang media Program Liqa' Mahabbah Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM dan Sambutan Aidilfitri Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Korporat Malaysia dan Wakil Tetap SDK JAKIM 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Datuk Selamat Paigo.

Sebelum ini media melaporkan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) dan Sahabat 99 mendedahkan perlanggaran SOP penyembelihan halal oleh loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia yang mendapat kelulusan JAKIM.

Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor dilaporkan berkata, pendedahan berhubung isu pelanggaran SOP penyembelihan halal di Australia berdasarkan kepada bukti video dan gambar serta diperkukuhkan saksi (Abdullah) yang dikatakan pekerja sembelihan di TFI Lobethal, Australia itu.

Menurut sumber, pemberi maklumat itu adalah lelaki warga Somalia.

Sementara itu, Idris berkata, dalam kaedah hukum agama, perkara tidak diketahui bukan menjadi tanggungjawab diri seseorang umat Islam membuat keputusan.

Beliau berkata, apa yang penting umat Islam mengetahui ada sijil halal dipamerkan pada sesuatu barangan kecuali mereka nampak sendiri dengan jelas perbuatan itu tidak halal.

Katanya, setakat ini TFI sudah mengeksport daging sebanyak 18 peratus ke Malaysia dan ia boleh dikesan pihak berkuasa melalui sistem kod diletakkan pada daging berkenaan.

"Kita berharap daging itu tidak sampai kepada pengguna sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.

Berita Harian X