Isnin, 23 Mei 2022 | 5:03pm
 Masrina (kanan) bersama Nur Aiman Amini selepas Majlis Konvokesyen ke-65 UTM hari ini. Foto ihsan UTM.
Masrina (kanan) bersama Nur Aiman Amini selepas Majlis Konvokesyen ke-65 UTM hari ini. Foto ihsan UTM.

Ibu tamatkan PhD, anak dapat sarjana

JOHOR BAHRU: "Saya dan anak sentiasa menjadi kekuatan dan sumber rujukan sesama sendiri hingga membolehkan kami meraikan konvokesyen bersama hari ini dan ia detik gembira tidak terhingga," kata suri rumah, Masrina Akmal Salleh, 51.

Masrina berkata, dia bersyukur kerana berjaya merealisasikan hasrat memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) selepas mengikuti pengajian selama empat tahun.

Beliau berkata, impian itu tidak mungkin dicapai tanpa dorongan dan sokongan ahli keluarga termasuk suami, Mohd Shakri Yaacob, 53, serta empat anak berusia 20 hingga 26 tahun.

Katanya, sepanjang mengikuti pengajian dalam program sistem maklumat, dia juga tidak terkecuali berdepan pelbagai cabaran termasuk dalam melaksanakan kewajipan sebagai ibu dan isteri.

"Alhamdulillah anak memberi semangat dan menyatakan mahu melihat saya berjaya hingga majlis konvokesyen.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai pensyarah dan berasakan penting bagi melengkapkan diri dengan ilmu sistem maklumat, jadi saya terus mengejar Impian.

"Dalam tempoh mengikuti pembelajaran, tidak dinafikan saya pernah hampir putus asa untuk melanjutkan pengajian, namun anak tidak mahu melihat saya gagal, menjadikan saya berusaha sedaya upaya," katanya selepas Majlis Konvokesyen Ke-65 UTM, hari ini.

Bekas pensyarah itu berkata, dia bersyukur kerana berkongsi pentas konvokesyen dengan anak sulung, Nur Aiman Amini, 26, yang berjaya memiliki sarjana dalam jurusan Sains (bioteknologi).

Beliau berkata, anaknya seorang yang gigih berusaha dan bercita-cita menjadi pengkaji pada masa depan.

"Dia sanggup meluangkan masa hingga waktu malam di universiti kerana mahu mengejar impiannya itu dan tidak disangka pada hari ini kami berkonvokesyen bersama.

"Ia secara kebetulan kerana sebenarnya saya menamatkan pengajian tahun lalu, namun majlis konvokesyen dianjakkan ke hari ini," katanya.

Sementara itu, Nur Aiman Amini berkata, ibunya menjadi inspirasi bagi melanjutkan pengajian.

"Ibu kerap menyatakan tiada jalan pintas bagi memiliki ilmu dan ia memerlukan fokus serta usaha.

"Saya tidak menyangka dapat konvokesyen bersama ibu dan amat bersyukur," katanya.

Seramai 9,023 graduan menerima diploma, ijazah, sarjana dan PHD pada majlis konvokesyen diadakan mulai 21 hingga 28 Mei depan.

Berita Harian X