Ahad, 22 Mei 2022 | 4:41pm

Tiada projek pembangunan rakyat dibatalkan - Fadillah

KUCHING: Tiada projek pembangunan yang dirancang untuk rakyat dibatalkan Kementerian Kerja Raya (KKR) meskipun ketika negara sedang menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu dan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembangunan untuk rakyat menjadi keutamaan kerajaan dan tidak ada sebab semua projek yang sudah diluluskan perlu dibatalkan.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan berlaku sedikit kelewatan bagi projek tertentu yang berdepan masalah seperti pertukaran hak milik tanah.

"Tidak akan ada pembatalan projek yang memang sudah diluluskan, cuma yang ada ialah penilaian semula bagi projek tertentu bagi menyelesaikan beberapa masalah di lapangan seperti isu tapak," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jejambat Batu 10, Seksyen Jalan Kuching-Serian (KSR) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Datuk Ahmad Ibrahim.

Fadillah berkata, banyak projek di seluruh negara kini dalam pelaksanaan termasuk Fasa Pertama Jalan Penghubung Sabah Sarawak (SSLR) dari Lawas ke Long Lopeng sepanjang 77 kilometer yang kini sedang giat dilaksanakan.

"Begitu juga dengan Fasa Kedua Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dari Miri ke sempadan Brunei dan dari Limbang ke Lawas yang sudah diluluskan Kabinet," katanya.

Mengenai perkembangan projek Fasa Pertama Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, beliau berkata, projek sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri itu dijangka siap penghujung tahun ini.

Beliau berkata, projek mega itu kini sudah 82 peratus siap, namun beberapa lokasi masih mengalami sedikit kelewatan kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda sejak 2020.

"Akibat COVID-19, kita mengalami kekurangan tenaga kerja kerana ramai pekerja projek Lebuh Raya Pan Borneo adalah warga Indonesia dan mereka belum dapat kembali semula ke Sarawak selepas balik ke negara asal ketika wabak itu melanda.

"Selain itu, kontraktor turut menghadapi cabaran seperti kekurangan bahan binaan seperti batu kuari serta kenaikan harga bahan api dan besi," katanya.

Justeru, katanya, beberapa kawasan yang mengalami masalah itu antaranya di laluan Miri-Pujut, Sibu-Sarikei, Sungai Arip-simpang Lapangan Terbang Bintulu, Pantu-Batang Skrang dan Sungai Awik-Simpang Bintangor dijangka mengalami sedikit kelewatan.

Mengenai jejambat Batu 10 Seksyen KSR itu, Fadillah berkata, ia adalah salah satu daripada empat jejambat di laluan berkenaan iaitu jejambat Batu 4, Batu 6 dan Batu 7 yang dibina dengan kos keseluruhan berjumlah RM323 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, meninjau keadaan semasa Jejambat Batu 10, Jalan Kuching-Serian (KSR) Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. - NSTP/Nadim Bokhari
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, meninjau keadaan semasa Jejambat Batu 10, Jalan Kuching-Serian (KSR) Lebuhraya Pan Borneo Sarawak. - NSTP/Nadim Bokhari
Berita Harian X