Sabtu, 21 Mei 2022 | 3:25pm
(Gambar fail) Foto hiasan. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
(Gambar fail) Foto hiasan. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

Peningkatan kos operasi ancam pemulihan industri bas

JOHOR BAHRU: Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) bimbang kenaikan harga barangan berkaitan kenderaan meliputi alat ganti, akan melumpuhkan fasa pemulihan industri bas di negara ini.

Pengerusi SGBM merangkap Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor, R Thiagarajan, mendakwa harga barangan terbabit seperti bateri, tayar, silinder, alat ganti serta minyak, meningkat antara 20 hingga 40 peratus sejak kebelakangan ini.

Katanya, kenaikan harga barangan berkenaan memberi kesan terhadap kos pengoperasian industri bas yang masih dalam fasa pemulihan selepas dua tahun terjejas akibat impak pandemik COVID-19.

Malah, beliau mendakwa, pihaknya mendapati bukan saja harga barangan naik tetapi juga upah pembaikpulihan di bengkel dan kos tenaga kerja sehingga membantutkan proses pemulihan industri itu.

"Justeru, SGBM menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif dan inklusif bagi menyelesaikan permasalahan kenaikan harga barangan.

"Kadar sewa dan tambang yang dikenakan sebelum ini pula tidak boleh dinaikkan begitu saja. Maka secara tidak langsung apabila kos pengoperasian meningkat, ia mengakibatkan kerugian.

"Tidak sampai berapa bulan pelaksanaan fasa peralihan ke endemik, kenaikan harga sudah begitu ketara menyebabkan ramai pengusaha mengalami kesukaran dalam fasa pemulihan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Thiagarajan menegaskan sekiranya perkara itu tidak dibendung, tempoh pemulihan yang diuar-uarkan kerajaan seolah-olah tiada sebarang makna.

Selain itu, beliau mendakwa, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) perbankan turut menambah beban apabila ramai pengusaha bas yang terkesan dengan pandemik COVID-19, kini hilang kelayakan dalam perkara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, SGBM bersyukur dan menghargai inisiatif Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, serta Bank Rakyat membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan skim pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK) tanpa faedah berserta moratorium selama setahun.

"Namun difahamkan, dana diperuntukkan bagi skim itu sudah habis dan ramai pemohon PMKS tidak berpeluang mendapatkan pinjaman terbabit.

"SGBM memohon kementerian memberi peluang dengan mengaktifkan skim seumpama itu bagi usahawan PMKS yang tidak berkesempatan memohon atau mendapatkan pinjaman," katanya.

Berita Harian X