Sabtu, 21 Mei 2022 | 2:22pm
Sidang media Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengenai hasil misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat di Menara MITI. - Foto FARIZ ISWADI ISMAIL
Sidang media Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengenai hasil misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat di Menara MITI. - Foto FARIZ ISWADI ISMAIL

Kerajaan mungkin perkenal mekanisme bahan api bersasar - Azmin

KUALA LUMPUR: Kerajaan kemungkinan memperkenalkan mekanisme bahan api yang disasarkan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak mentah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai berikutan lonjakan ketara dalam unjuran subsidi bahan api untuk 2022 kepada RM28 bilion, berbanding RM11 bilion pada 2021.

"Kami bercakap mengenai semakan terbabit dalam pemukiman (retreat) khas baru-baru ini.

"Mereka yang mempunyai BMW tidak boleh menikmati subsidi yang sama seperti mereka yang mempunyai Kancil," katanya pada sidang media mengenai Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Amerika Syarikat hari ini.

Bulan lalu, Petronas Dagangan Bhd memaklumkan ia bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan berhubung mekanisme subsidi bahan api berikutan peningkatan harga minyak mentah di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berkata, kerajaan masih mengusahakan struktur yang sesuai untuk mekanisme bahan api yang disasarkan, yang dijangka siap tidak lama lagi. – BERNAMA

Berita Harian X