Jumaat, 20 Mei 2022 | 6:03pm

Definisi dana politik perlu diperhalusi parti politik

KUALA LUMPUR: Semua parti politik perlu menjadi pemegang taruh utama dalam mentakrifkan dana politik melalui Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik yang dicadang digubal.

Ini kerana, RUU itu berkait rapat dengan parti politik yang mana sumbangan termasuk derma atau apa-apa bentuk pendanaan dan pembiayaan tidak dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiadanya terma mengenai pendanaan atau pembiayaan politik menyebabkan pemimpin politik termasuk pemimpin UMNO kini berhadapan tuduhan di mahkamah dan dikaitkan dengan rasuah.

Katanya, RUU Sumbangan Politik perlu disegerakan, kerana apa-apa tindakan termasuk derma atau sumbangan orang ramai, persendirian mahupun syarikat kepada pemimpin politik dikaitkan dengan rasuah.

"Definisi jelas perlu ada dalam RUU itu dan sudah tentu pembabitan semua pihak perlu supaya sebarang sumbangan, dana, pembiayaan, pemberian dan derma tidak dikatakan sebagai rasuah," katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai persetujuan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dengan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan RUU itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.

Ahmad berkata, UMNO dalam Perhimpunan Agung baru-baru, meluluskan pendanaan politik ini sebagai salah satu daripada lapan usul yang diterima dan diluluskan parti.

"Kita di UMNO sudah lama memperjuangkan perkara ini (RUU Sumbangan Politik) malah sudah ada draf RUU pada zaman Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri, namun pembangkang ketika itu membantah kerana khuatir pemberi dana politik disenarai hitam daripada mendapat projek kerajaan.

"RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik," katanya.

Ahmad berkata apabila tiada undang-undang mengenai sumbangan atau pendanaan politik, mana-mana sumbangan diterima parti akan dikira sebagai rasuah.

Katanya, adalah tidak adil untuk parti jika ada mana-mana pihak menyumbang dengan ikhlas dikira sebagai rasuah.

"Dalam kes 1MDB misalnya, 121 orang yang menerima dana daripada syarikat itu disiasat dan lebih 80 individu dan entiti dikenakan kompaun," katanya.

Sementara itu, anggota Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata, cadangan RUU itu perlu dibincangkan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan terutama parti politik sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

Katanya, pendanaan politik juga perlu mendapat input daripada pakar dan mereka yang profesional berkaitan.

"Difahamkan sudah ada perbincangan mengenai perkara ini sejak dua tahun lalu dan kesediaan kerajaan dengan cadangan JKKMAR mengenai RUU Sumbangan Politik ini petanda positif.

"KRPPM bersedia bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) bagi memastikan RUU Sumbangan Politik ini dipersetujui bersama supaya dapat menambah baik kebertanggungjawaban parti politik di negara ini," katanya.

KRPPM ditubuhkan pada 20 April lalu selepas diluluskan oleh Setiausaha Dewan Rakyat dan dianggotai sembilan Ahli Parlimen dari sembilan parti berbeza serta seorang Ahli Dewan Negara.

Berita Harian X