KUALA NERUS: Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada masa ini boleh menjadi faktor untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke negara ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keadaan itu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara terutama selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dalam peralihan ke endemik sejak 1 April lalu.
Beliau berkata rekod tempahan bilik hotel dan penginapan juga penuh sejak SOP itu dilonggarkan.
"Kita menyasarkan lebih dua juta pelancong daripada luar negara ke negara ini, tetapi angka kedatangan pelancong itu dijangka berubah apabila beberapa negara masih menguatkuasakan pematuhan SOP.
"Tumpuan utama kerajaan adalah untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong daripada Arab Saudi dan India," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan Program Rewang Raya sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia (MRTM), di masjid Seberang Takir, di sini, hari ini.
MRTM anjuran MOTAC dan kerajaan negeri yang diadakan di Dataran Jambatan Angkat (Drawbrigde) akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob malam ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata pelancong dari Arab Saudi berminat dengan pengeluaran tekstil terutama songket dan batik.
Katanya, pelancong India juga memilih untuk melancong dan mengadakan majlis perkahwinan mengikut tradisi yang masih diamalkan masyarakat itu di negara ini.
"Kita akan memperluaskan promosi dua produk terbaharu yang dijangka mampu meningkatkan kedatangan pelancong daripada negara berkenaan," katanya.
Ketika mengulas mengenai kenaikan harga barangan, Nancy berkata, penggiat sektor pelancongan terutamanya pengusaha perhotelan diminta tidak menaikkan harga perkhidmatan.