Jumaat, 20 Mei 2022 | 3:24pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Ibu bapa perlu ambil peluang vaksinkan anak

KUALA LUMPUR: Peralihan negara ke fasa endemik COVID-19 bergantung juga kepada jumlah kanak-kanak yang menerima vaksin wabak berkenaan.

Ini kerana sistem imun kanak-kanak belum cukup matang untuk melawan dan melindungi mereka daripada virus berbahaya.

Namun, masih ramai ibu bapa yang belum mendapatkan temujanji vaksin untuk anak-anak melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) yang berakhir pada lapan Mei lalu.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Malina Osman, berkata ibu bapa perlu mengambil kesempatan membawa anak mereka untuk segera divaksin.

"Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, hanya kita yang dapat menentukan sama ada kita boleh bergerak ke arah endemik dengan selamat atau meninggalkan lagi sebahagian kecil yang masih rentan untuk mendapat jangkitan kerana tidak divaksin.

"Jika tidak divaksin, kita bimbang golongan kanak-kanak ini akan terdedah kepada bahaya jangkitan," katanya ketika dihubungi BH.

Ibu bapa sering melihat kanak kanak sebagai golongan yang kurang berisiko mendapat gejala yang serius.

Beliau berkata data banyak menunjukkan ramai antara yang mendapat gejala adalah golongan dewasa tetapi terdapat sebab yang kukuh kenapa kanak-kanak penting untuk mendapatkan vaksin.

"Pertama, kanak-kanak dapat memainkan peranan sebagai ejen penular yang boleh menyebabkan jangkitan berlaku dalam keluarga terutama yang mempunyai golongan warga emas.

"Sudah diketahui bahawa golongan warga emas sememangnya disarankan untuk mendapatkan vaksin dan kini sudah di peringkat dos penggalak kedua, maksudnya dari semasa ke semasa imuniti mereka akan berkurangan yang sentiasa memerlukan perlindungan," katanya.

Beliau berkata jika kanak-kanak tidak divaksin, mereka boleh menjadi punca yang menyebabkan jangkitan dalam keluarga.

"Sebab kedua, kanak-kanak mempunyai aktiviti harian iaitu bersekolah dan pemberian vaksin sekarang membabitkan kanak-kanak dari tadika dan sekolah rendah yang membantu merendahkan kadar penularan dan jangkitan dikalangan masyarakat," katanya.

Ketiga, katanya, ia juga dapat mengelakkan kanak-kanak dari mendapat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)

atau gejala COVID-19 yang berpanjangan.

Lagipun sekarang ini muncul wabak baru dikenal pasti sebagai 'hepatitis' yang dikatakan berkait juga dengan COVID-19.

Menurut laman COVID-19 Malaysia, janji temu ibu bapa yang belum atau sudah membuat temujanji vaksin dos pertama pada 31 Mei 2022 untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun, terbatal dan perlu hadir ke Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara 'walk-in" berdasarkan 'siapa cepat dia dapat.'

Berita Harian X