Jumaat, 20 Mei 2022 | 11:50am
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat bersama Cue Health. - Foto BERNAMA
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat bersama Cue Health. - Foto BERNAMA

Syarikat AS yakin Malaysia masih destinasi pelaburan menarik

LOS ANGELES: Syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yakin bahawa Malaysia masih lagi merupakan destinasi pelaburan yang menarik, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Mereka melihat potensi Malaysia untuk terus maju dalam ekonomi digital dan bersedia membantu Malaysia perkukuh daya saing di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita Bernama dan TV3 baru-baru ini selepas menamatkan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) di AS selama 10 hari, bermula 9 hingga 18 Mei.

"TIM ke AS amat berjaya, kami bukan sahaja dapat mengadakan perbincangan dan mengetengahkan dasar-dasar kerajaan kepada pihak pentadbiran AS, tetapi juga dapat mengadakan rundingan dan perbincangan dengan syarikat utama yang berpangkalan di AS," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia dapat melihat komitmen pihak AS bukan sahaja mereka hendak membawa pelaburan ke dalam negara, tetapi turut bersetuju dan komited untuk membina rantaian bekalan yang lebih luas dan kukuh dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

"Mereka juga bersedia membina ekosistem dan memindahkan teknologi dan kepakaran kepada syarikat tempatan. Ini pasti akan memberikan ruang dan peluang yang cukup besar kepada Malaysia untuk menembusi pasaran global dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

Semasa misi perdagangan dan pelaburan itu, Azmin juga mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS Gina M Raimondo dan Duta Wakil Perdagangan AS Katherine Tai di Washington DC.

Satu Memorandum Kerjasama (MoM) bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan telah ditandatangani antara Azmin dan Raimondo pada 10 Mei lalu.

Azmin juga berkata, Malaysia dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS melalui misi perdagangan dan pelaburan berkenaan.

Antara syarikat gergasi yang dikunjungi Azmin termasuk Starlink, penyedia internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan kependaman rendah yang dikendalikan oleh syarikat aeroangkasa Elon Musk, SpaceX; , Amazon Web Services Inc (AWS); dan Microsoft Corporation. – BERNAMA

Berita Harian X