Khamis, 19 Mei 2022 | 4:46pm
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/Faiz Anuar
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/Faiz Anuar

Saksi kata wang kepada Zahid adalah dana politik

SHAH ALAM: Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khun berkata wang diberi oleh syarikat itu kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan bermotifkan rasuah, sebaliknya untuk dana politik.

Perkara itu dimaklumkan ketika pemeriksaan balas peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh di Mahkamah Tinggi susulan Vui Khun semalam memaklumkan UKSB menghantar wang tunai Dolar Singapura setiap bulan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Ditanya oleh seorang lagi peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal sama ada dana politik itu merujuk kepada UMNO, Vui Khun yang juga saksi pendakwaan ke-15 berkata mengikut pemahamannya, wang berkenaan diberikan untuk kerajaan masa itu.

"UMNO adalah sebahagian daripada komponen (parti dalam Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan pada waktu berkenaan)," katanya.

Kelmarin, Vui Khun dilaporkan berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

Zahid minta sumbangan bulanan dinaikkan

Dalam tempoh itu, bekas Pengarah UKSB itu dipetik memaklumkan pihaknya ada pergi ke rumah Ahmad Zahid di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu, Ahmad Zahid meminta sumbangan bulanan dinaikkan.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN.

Ia juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.

Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Ahmad Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN). - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Mengenai perjumpaan Vui Khun bersama bekas Timbalan Perdana Menteri terbabit, saksi itu mengaku tidak mempunyai sebarang bukti berhubung perkara berkenaan.

Saksi kata tiada bukti pergi ke rumah Zahid

Ahmad Zaidi: Bagaimana pergi rumah di Country Heights itu?

Vui Khun: Dengan kereta

Ahmad Zaidi: Saya cadangkan ada sekurang-kurangnya dua tol untuk ke rumah berkenaan dari pejabat dan residensi?

Vui Khun: Saya tidak memandu.

Ahmad Zaidi: Ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minta penyata (salinan resit) kad Touch 'n Go?

Vui Khun: Tiada.

Ahmad Zaidi: Bila masuk kawasan Country Heights, tiada sesiapa yang boleh masuk tanpa kad akses dan pemandu perlu mendaftar di pos kawalan keselamatan. Ada SPRM bertanya mengenai perkara itu?

Vui Khun: Tiada

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung hari ini.

Berita Harian X