Rabu, 18 Mei 2022 | 10:47am
Kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengadakan kawalan di Tembok Laut Padang Kota Lama, di sini, susulan kejadian air laut pasang
Kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengadakan kawalan di Tembok Laut Padang Kota Lama, di sini, susulan kejadian air laut pasang

'Tiada salah pada binaan teres bawah Padang Kota Lama' - Datuk Bandar Pulau Pinang

Georgetown: Tiada isu kecacatan atau kesilapan reka bentuk berhubung pembinaan persiaran teres bawah Tembok Laut Padang Kota Lama di sini sehingga menyebabkan ia terpaksa ditutup kepada orang awam ketika fenomena air laut pasang pada Isnin lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar Yew Tung Seang, berkata bahagian itu sudah dijangka akan dipenuhi air berikutan air laut pasang yang diramal berlaku antara dua hingga tiga jam dalam tempoh kumulatif 30 hingga 45 hari setahun.

"Tiada yang salah dengan reka bentuk tersebut dengan kerja-kerja pembinaan mengambil kira pelbagai faktor antaranya cuaca dan fenomena air pasang surut selain sistem saliran turut diuji dan dinilai agar ia dapat bertahan dalam semua keadaan cuaca termasuk ribut serta air pasang luar biasa.

"Selain itu, laluan tangga menuju bahagian struktur batu lapis diperlukan sebagai akses untuk kerja-kerja pembersihan berikutan air pasang akan membawa sampah sarap ke pinggir pantai yang akan mencemarkan pemandangan di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Projek pengukuhan dan penambahbaikan tembok laut Padang Kota Lama membabitkan kos RM12.9 juta dan baru dirasmikan Jumaat lalu itu mendapat kritikan ramai terutamanya di media sosial yang menyifatkan ia bermasalah selepas laluan bawah pejalan kaki di tembok berkenaan ditenggelami air laut pasang.

Semalam, Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad turut meminta kerajaan negeri melaksanakan 'audit forensik' bagi mengenal pasti punca berlakunya situasi berkenaan.

Tung Seang berkata, struktur teres bawah berkenaan telah direka secara khusus di bahagian air pasang surut supaya pengunjung dapat mendekati dan melihat sebahagian tinggalan tembok laut lama yang merupakan sebahagian daripada sejarah Pulau Pinang dalam keadaan cuaca biasa.

"MBPP ingin menegaskan bahawa projek ini turut mengambil kira elemen konservasi warisan yang amat penting bagi Georgetown yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kawasan tersebut mengandungi beberapa struktur tertua yang dibina pada 1807 dan kami ingin menunjukkan betapa sensitifnya kami dalam usaha mengekalkan ciri-ciri autentik tembok laut Padang Kota Lama," katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kesal pagar dari kedua-dua arah laluan sepanjang 570 meter berkenaan telah dirosakkan individu tidak bertanggungjawab sehari selepas projek itu dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Katanya, rondaan dan kawalan akan dilakukan dari semasa ke semasa selain pihaknya akan melakukan pemantauan menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) untuk memastikan keselamatan orang ramai di lokasi tumpuan pelancong berkenaan.

"Sebagai langkah proaktif dalam menjaga keselamatan pengunjung, papan tanda dwibahasa telah dipasang di pintu akses teres bawah bagi menyatakan waktu operasi iaitu dari jam 7 pagi hingga 9 malam termasuk amaran larangan masuk semasa air pasang, hujan dan ombak kuat.

"Semua lokasi tepi laut tidak terlepas daripada mengalami keadaan cuaca melampau dan MBPP menyarankan orang awam menjaga keselamatan diri termasuk kanak-kanak ketika berkunjung ke kawasan persisiran pantai," katanya.

Berita Harian X