Selasa, 17 Mei 2022 | 3:44pm
Zahidi (tiga dari kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Pemasaran MBR, Jwan Heah Yeow Hooi menyerahkan sijil MBR penanaman pokok Gutta Percha terbanyak kepada Abd Ghafar (dua dari kiri) di Taman Botani, Putrajaya, hari ini. - BERNAMA
Zahidi (tiga dari kiri) menyaksikan Ketua Pegawai Pemasaran MBR, Jwan Heah Yeow Hooi menyerahkan sijil MBR penanaman pokok Gutta Percha terbanyak kepada Abd Ghafar (dua dari kiri) di Taman Botani, Putrajaya, hari ini. - BERNAMA

5,017 Gutta Percha ditanam serentak, cipta rekod MBR

PUTRAJAYA: Sejumlah 5,017 pokok spesies Pokok Gutta Percha berjaya ditanam secara serentak di 23 lokasi dalam tempoh 24 jam, sekali gus disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records (MBR), hari ini.

Ia hasil usaha Yayasan Telekom Malaysia (TM) bersama 18 rakan kerjasama sempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022, yang menyaksikan 1,000 mahasiswa menjadi sukarelawan membantu proses penanaman.

Pelancaran inisiatif itu disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Taman Botani Putrajaya, di sini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa.

Dalam ucapannya, Zahidi memuji inisiatif yang diambil bagi menjayakan program itu yang boleh mengharumkan nama negara atas usaha memulihara hutan dan alam sekitar.

Kempen memilih spesies Gutta Percha atau pokok nyatoh taban merah yang pada suatu ketika dahulu amat berharga kepada kerajaan British, disebabkan statusnya sebagai warisan alam yang penting di Malaysia.

Tumbuhan itu jenis kayu keras ringan yang sesuai untuk penghasilan hiasan dalaman dan panel, daunnya berwarna hijau kekuningan atau berkarat dengan urat-urat daun berwarna tembaga, manakala bunga berwarna putih bersaiz kecil.

Pada 1845, pokok itu diambil daripada Tanah Melayu untuk dijadikan komponen kabel dasar laut yang pertama kerana memiliki sifat-sifat penebat elektrik.

Gutta bermaksud getah dalam bahasa Melayu, manakala Percha adalah nama pokok terbabit. Ia tergolong dalam kumpulan balak saiz sederhana yang dapat mencecah ketinggian 35 meter, boleh dijumpai di hutan tanah pamah di Semenanjung, Singapura, Sumatera dan Borneo.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TM, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkenaan penanaman pokok berkenaan simbolik usaha pelbagai pihak melindungi dan menghargai khazanah semula jadi negara.

"Kita menghargai peranan uniknya (Gutta Percha) dalam menghubungkan masyarakat di seluruh dunia. Daripada kurang dikenali di negara ini, spesies berjaya mengubah cara komunikasi kita. Kini ia menjadi tanggungjawab kita untuk melindunginya untuk generasi akan datang," katanya.

Bagi memastikan impak projek itu lebih luas, Yayasan TM dengan kerjasama Unifi menganjurkan kempen pokok angkat atau 'Adopt-A-Tree', memberi peluang pelanggan Unifi mengambil bahagian dengan menyumbangkan mata ganjaran diperoleh mereka melalui apikasi Myunifi atau portal Unifi.

Berita Harian X