Selasa, 17 Mei 2022 | 2:40pm
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 (AIGA 2022) Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. - BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2022 (AIGA 2022) Peringkat Kebangsaan di Putrajaya, hari ini. - BERNAMA

KSN mahu perkhidmatan awam, swasta negara terus tekad banteras rasuah

PUTRAJAYA: Penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2021 adalah isyarat penting kepada perkhidmatan awam dan swasta di negara ini untuk meneruskan tekad membanteras gejala berkenaan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kedudukan Malaysia yang kurang memberangsangkan, iaitu tangga ke-62 berbanding 57 pada 2020, adalah realiti pahit yang perlu diterima dengan hati terbuka.

"Walaupun ia sekadar persepsi, realiti ini adalah isyarat penting kepada kita semua meneruskan tekad membanteras rasuah dengan membudayakan integriti yang tinggi dalam kalangan agensi dan individu, sama ada dalam perkhidmatan awam atau swasta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

Pada Januari lalu, kedudukan Malaysia dalam CPI bagi 2021 dilaporkan jatuh ke tangga 62, daripada tangga 57 pada 2020 dalam kalangan 180 negara, selepas mencatatkan skor 48 peratus, berbanding 51 peratus pada tahun sebelumnya, yang dinilai berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam.

Sementara itu, Mohd Zuki yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), berkata AIGA 2022 yang julung kalinya diadakan di peringkat kebangsaan adalah lanjutan kepada AIGA 2020 peringkat negeri Pahang pada tahun lalu.

Bagi tujuan itu, katanya, rakan strategik IIM akan diperluas membabitkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) dan SIRIM Berhad.

"Penyertaan AIGA yang akan menjadi acara tahunan, terbuka kepada semua agensi awam dan swasta tanpa mengira saiz organisasi, manakala kriteria penilaian memfokuskan keupayaan dan ketersediaan organisasi dalam proses dalaman.

"Proses penilaian kriteria AIGA 2022 akan mengguna pakai standard pematuhan piawaian antarabangsa yang terkini," katanya.

Beliau berharap AIGA akan menjadi mekanisme penanda aras terbaik bagi organisasi awam atau swasta dalam membudayakan integriti, tadbir urus terbaik dan antirasuah terutama dalam organisasi, selain boleh dijadikan teladan dan inspirasi kepada organisasi lain.

Berita Harian X