Isnin, 16 Mei 2022 | 11:50pm
Rakaman gambar menunjukkan beberapa rumah di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu Pantai dinaiki air akibat hujan lebat lebih 3 jam bermula 2 petang tadi. - BERNAMA
Rakaman gambar menunjukkan beberapa rumah di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu Pantai dinaiki air akibat hujan lebat lebih 3 jam bermula 2 petang tadi. - BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan penduduk susulan hujan lebat berterusan di Selangor menyebabkan tiga kampung di Kuala Kubu Bharu, ditenggelami air. - FOTO IHSAN BOMBA
Anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan penduduk susulan hujan lebat berterusan di Selangor menyebabkan tiga kampung di Kuala Kubu Bharu, ditenggelami air. - FOTO IHSAN BOMBA

Banjir landa 3 negeri, satu PPS dibuka di Kedah

KUALA LUMPUR: Hujan lebat berterusan sejak tengah hari menyebabkan beberapa lokasi di tiga negeri dinaiki air dengan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka malam ini.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar dibuka bagi menempatkan penduduk dari 22 rumah yang terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS itu dibuka jam 8.10 malam dengan mangsa membabitkan penduduk di Kampung Padang Setol, Mukim Tawar.

"Pihak kami mendapat maklumat daripada Penghulu Mukim Tawar mengenai banjir di kampung berkenaan dengan terdapat mangsa terperangkap kira-kira jam 8 malam tadi.

"Sehingga kini, jumlah mangsa dan bilangan keluarga masih dalam pengiraan," katanya dalam kenyataan.

Di SELANGOR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata pihaknya menerima laporan banjir kilat kira-kira jam 6 petang tadi membabitkan Kampung Jawa, Kampung Pasir dan Ladang Estet Kerling, Sungai Dua Kerling di Kuala Kubu Bharu.

Beliau berkata, paras air di kawasan terjejas kira-kira 1.8 meter dan tiada PPS dibuka setakat ini.

Rakaman menunjukkan beberapa rumah di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu Pantai dinaiki air akibat hujan lebat sejak pukul dua hingga lima petang tadi, hari ini. - BERNAMA
Rakaman menunjukkan beberapa rumah di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu Pantai dinaiki air akibat hujan lebat sejak pukul dua hingga lima petang tadi, hari ini. - BERNAMA

Di NEGERI SEMBILAN pula, kira-kira 10 rumah terjejas banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi di Kampung Sungai Mahang, Nilai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata 10 rumah dilanda banjir selepas paras air naik melebihi 1.2 meter.

Dalam pada itu, lima individu berdepan detik cemas apabila kenderaan jenis Toyota Avanza dinaiki mereka dibawa arus banjir di Kampung Dingkir Inas di Kuala Pilah kira-kira 5.30 petang tadi.

Pegawai Operasi Bomba Kanan II di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Pilah, Abdul Halim Mohd Yusof berkata, bomba dibantu orang awam berjaya menyelamatkan dua wanita, dua kanak-kanak dan seorang bayi yang terperangkap dalam kenderaan berkenaan.

Tinjauan BERNAMA di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu, Pantai di Seremban pula mendapati beberapa kawasan dinaiki air, namun tiada PPS dibuka setakat ini. - BERNAMA

Berita Harian X