Isnin, 16 Mei 2022 | 10:35am

Cikgu 'satu tangan' belanja RM1,000 hias kelas

PASIR MAS: Melangkah masuk ke dalam sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) To' Uban, di sini, perasaan pasti terpegun melihat susun atur serta tata rias kelas itu yang mewujudkan keadaan lebih selesa dan kondusif semasa sesi pembelajaran.

Keterujaan itu pasti bertambah apabila mengetahui inisiatif terbabit dilakukan Abdullah Abd Kadir, 28, guru orang kurang upaya (OKU) yang hanya memiliki tangan kiri.

Abdullah yang mengajar subjek Pendidikan Islam, berkata biarpun perlu melakukan semua kerja menghias kelas secara bersendirian, beliau tidak kisah kerana usaha itu memberi impak positif dalam pembelajaran, khususnya kelas semakin selesa dan menarik.

Abdullah Abd Kadir, 28, hilang tangan kanan akibat kemalangan selepas kereta dipandunya terjatuh dalam gaung di Bentong, Pahang, pada Mac 2018. - FB ABDULLAH KADIR
Abdullah Abd Kadir, 28, hilang tangan kanan akibat kemalangan selepas kereta dipandunya terjatuh dalam gaung di Bentong, Pahang, pada Mac 2018. - FB ABDULLAH KADIR

"Semua kerja seperti menghias papan kenyataan, jadual tugasan, carta organisasi, jadual waktu, jahit langsir, meletakkan alas meja termasuk kerja-kerja mengecat, semuanya saya buat sendiri.

"Walaupun hanya memiliki satu tangan, jiwa dan hati saya sangat cekal untuk melakukannya kerana tahu setiap kesukaran dan kepayahan pasti ada ganjaran dan serta hikmahnya," kata anak jati Pasir Mas ini ketika ditemui.

Bercerita lanjut, Abdullah yang mula mengajar di SK To' Uban sejak Ogos 2018, berkata beliau mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM1,000 untuk menghias kelas terbabit dan amat tersentuh apabila anak muridnya memberi reaksi positif terhadap usaha itu.

Abdullah (depan) bersama anak-anak muridnya meraikan Aidilfitri baru-baru ini. - FB ABDULLAH KADIR
Abdullah (depan) bersama anak-anak muridnya meraikan Aidilfitri baru-baru ini. - FB ABDULLAH KADIR

"Saya hias bilik darjah itu dalam tempoh cuti sekolah awal tahun ini. Apabila murid-murid datang memulakan sesi persekolahan pada Mac lalu, mereka terkejut, malah ada yang cakap 'rasa seperti berada di rumah' selepas transformasi terhadap kelas itu.

"Mereka juga dilihat semakin seronok datang ke sekolah, malah nampak lebih bersemangat," kata alumni Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor ini.

Seperkara yang menarik, Abdullah turut berkongsi semua alat bantu mengajar yang dihasilkan menerusi laman Facebooknya dan diberikan secara percuma kepada guru-guru lain.

"Perkongsian itu tidak terhad kepada guru-guru di sekolah ini, ada juga dari sekolah lain yang meminta idea atau mahu alat bantu mengajar yang saya hasilkan," katanya.

Mengenai keadaan fizikalnya, Abdullah berkata, beliau kehilangan tangan kanan akibat kemalangan selepas kereta dipandunya terjatuh dalam gaung di Bentong, Pahang, pada Mac 2018, hanya selepas enam bulan berkhidmat di SK Bangsar di ibu negara.

"Semasa awal dahulu, memang ada terlintas mahu berhenti kerana rasa tidak mampu untuk teruskan khidmat sebagai guru kerana kekurangan dialami. Namun atas semangat yang diberikan oleh ibu dan ahli keluarga, saya tanam tekad untuk terus berkhidmat.

"Apatah lagi apabila dapat bertukar dari SK Bangsar ke SK To' Uban yang lebih dekat dengan keluarga," katanya.

Abdullah mengemas bilik darjah di SK To’ Uban, Pasir Mas. - FB ABDULLAH KADIR
Abdullah mengemas bilik darjah di SK To’ Uban, Pasir Mas. - FB ABDULLAH KADIR
Berita Harian X