X
Isnin, 16 Mei 2022 | 9:43am
Radzi menyampaikan Anugerah Khas Pendidikan (Guru Gigih Pedalaman) kepada Mohd Irfan di UMK Kampus Bachok. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Radzi menyampaikan Anugerah Khas Pendidikan (Guru Gigih Pedalaman) kepada Mohd Irfan di UMK Kampus Bachok. -Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Diancam binatang buas, redah jalan balak 50km setiap hari

BACHOK: Diancam binatang buas dan merempuh perjalanan sejauh 50 kilometer (km) setiap hari untuk menyumbang bakti kepada murid Orang Asli di Tapah, dekat Perak.

Situasi itu yang ditempuh oleh seorang guru, Mohd Irfan Mustakim Ariffin, 30, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Musoh Lz, Tapah sejak lima tahun lalu dan dinobatkan Anugerah Khas Pendidikan (Guru Gigih Pedalaman) yang menerima wang tunai RM5,000.

Mohd Irfan berkata, walaupun mengajar murid Orang Asli di pedalaman, beliau berasa gembira dan sentiasa bersemangat untuk mencurahkan ilmu kepada mereka.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Guru Penolong Akademik dan mengajar Bahasa Melayu, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani, berkata penghargaan diterimanya itu sangat tinggi serta segala kegigihannya selama ini terubat.

"Walaupun pelbagai kesukaran yang mereka hadapi, kegigihan kita sebagai guru mereka akan balas apabila cemerlang dalam pelajaran.

"Kita sebagai guru tidak boleh memandang rendah kepada murid pedalaman kerana mereka juga boleh cemerlang seperti murid lain," katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin. Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.

Sementara itu, Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syeikh Abdul Ghani, Bidor, Perak, Julita Joseph, 39, yang menerima Anugerah Khas Guru Orang Asli berkata, beliau mengadakan kelas tuisyen secara percuma kepada murid Orang Asli setiap minggu sejak lima tahun lalu.

Dia juga sentiasa masuk kampung untuk bertanya masalah yang dihadapi oleh murid terutama bagi mereka yang tidak hadir ke sekolah.

"Saya mengadakan kelas tuisyen bagi subjek Sejarah di dewan perkampungan Orang Asli dengan kerjasama Tok Batin bagi memastikan murid saya cemerlang dan memperoleh sijil bagi mereka yang mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus dapat mengubah kehidupan mereka," katanya yang menerima wang tunai RM5,000.

Berita Harian X