Ahad, 15 Mei 2022 | 7:07pm

KASA selesai buat penilaian tangani banjir di Janda Baik

NIBONG TEBAL: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah melakukan penilaian bagi kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan bagi mengatasi masalah banjir kilat di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman, berkata tindakan pantas sudah diambil Ketua Setiausaha (KSU), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkaitan berhubung isu itu.

"Pihak KSU turun padang meninjau kedudukan dan menyelaras kerja-kerja pembaikan serta penambahbaikan termasuk mengenal pasti punca berlakunya banjir di situ

"Pada masa sama turut mengemukakan langkah jangka pendek dan panjang untuk atasi masalah yang saya percaya tindakan pantas ini akan dapat tangani isu ini dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang meminta supaya kerajaan negeri itu bekerjasama dengan KASA bagi menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong, baru-baru ini.

Sebelum itu, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran parlimennya di Dewan Serbaguna Jawi, di sini.

Sementara itu, Mansor berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu mengambil langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani isu banjir yang berlaku di negeri masing-masing.

Katanya, sebagai contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengemukakan 14 tindakan termasuk mengenal pasti lokasi 'hotspot' banjir dalam menangani bencana alam itu sekiranya berlaku di kawasan mereka.

"Mereka (DBKL) menggariskan apa langkah jangka pendek dan panjang termasuk faktor dan bukan faktor berlaku bencana itu yang ia memberi kemudahan untuk kita tangani isu banjir ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mansor yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, KASA turut meminta semua kementerian dapat memberi perhatian terhadap isu pendidikan sivik dengan tidak hanya berharap kepada KASA semata-mata.

"Pada Aidilfitri ini kita dapati banyak sangat pembuangan sampah di merata-rata tempat yang memerlukan kesedaran sivik diberikan bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

"Apatah lagi, pembuangan sampah antara punca besar berlaku banjir kilat yang bila berlaku hujan lebat, sistem perparitan akan tersumbat maka berlaku banjir," katanya.

Mangsa banjir, Kamarul Azzra J C Rais 35, melihat keretanya yang dihanyutkan banjir kilat dan fenomena kepala air di Kampung Sum Sum Janda Baik. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Mangsa banjir, Kamarul Azzra J C Rais 35, melihat keretanya yang dihanyutkan banjir kilat dan fenomena kepala air di Kampung Sum Sum Janda Baik. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X