Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:45pm
Malaysia mengadakan SOP halal yang ketat tetapi tidak dipatuhi oleh agensi luar negara. - Foto hiasan
Malaysia mengadakan SOP halal yang ketat tetapi tidak dipatuhi oleh agensi luar negara. - Foto hiasan

JAKIM gantung pusat sembelihan Australia

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata pada masa sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal yang diiktiraf JAKIM, sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Katanya, keputusan penggantungan itu dibuat selepas JAKIM bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (JPV) dan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia mengadakan perjumpaan, Jumaat lalu.

Katanya, JAKIM dan JPV memberi perhatian serius berkenaan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh pusat sembelihan itu yang mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

"JAKIM dan JPVmenegaskan prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia melalui prosedur yang ketat dan terperinci," katanya hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, seorang bekas pekerja di pusat penyembelihan di Australia yang diiktiraf JAKIM mendakwa berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) keselamatan makanan, kebersihan dan piawaian halal.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai 'The Hood Man' itu mendakwa diberhenti kerja dalam tempoh 24 jam, manakala ahli keluarganya turut diugut, susulan pendedahan mengenai isu berkenaan.

Hakimah berkata, proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara diaudit secara sistematik oleh pegawai terlatih JPV dan JAKIM.

Beliau berkata, proses audit ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan secara berjadual menggunakan piawaian yang ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk berdasarkan SOP di dalam Standard Malaysia untuk Good Manufacturing Practices (GMP) MS 1514:2009, Standard Malaysia untuk Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) MS 1480:2018 termasuk juga Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM) 23(h):1/2014 (Pengauditan Loji Sembelihan dan Loji Pemprosesan).

Katanya, bagi aspek pematuhan halal mengguna pakai Malaysia Standard Halal Food – Production, Preparation, Handling and Storage – General Guidelines (MS1500:2009) dan Malaysian Protocol for The Halal Meat and Poultry Production.

"Proses kelulusan pula perlu melalui sebanyak empat kali pembentangan dan penilaian, sebelum keputusan diberikan," katanya.

Hakimah berkata, pembentangan dan penilaian di peringkat JAKIM membabitkan Jawatankuasa Penilaian Pengiktirafan Halal Luar Negara dan Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara.

Katanya, bagi pembentangan dan penilaian seterusnya pada peringkat JPV dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, iaitu Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir dan Loji Pemprosesan Luar Negara dan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Import dan Eksport Keluaran Pertanian.

Katanya, selepas kelulusan diperolehi, pemantauan loji sembelihan diadakan oleh JPV, JAKIM dan badan persijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM, bagi memastikan standard dan prosedur Malaysia dipatuhi.

"Mengenai kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh loji sembelihan berkenaan yang mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia, JAKIM menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan dan mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

"JAKIM juga mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (PEKEMAS) dalam masa terdekat, bagi membincangkan dan mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Berita Harian X