Sabtu, 14 Mei 2022 | 1:54pm
Kad pekerja Muhammad Farhan ketika berkhidmat sebagai doktor di hospital. - Foto FB Muhammad Farhan
Kad pekerja Muhammad Farhan ketika berkhidmat sebagai doktor di hospital. - Foto FB Muhammad Farhan

Kisah perit bekas doktor pelatih

KUALA LUMPUR: Dilambak dengan bebanan tugas melampau, diugut untuk digagalkan dan didera secara mental hampir setiap hari ketika menjalani latihan kedoktoran dialaminya, membuatkan Muhammad Farhan Mohamed pernah beberapa kali cuba membunuh diri.

Situasi itu disebabkan kemurungan melampau sehingga dia disahkan mengalami penyakit gangguan bipolar tahap dua.

'Mimpi buruk' itu dilalui bermula hari kedua penempatannya sebagai doktor pelatih di sebuah hospital kerajaan di Pantai Timur.

Bagi mendapatkan cerita sebenar disebalik penderitaan mangsa buli membabitkan doktor pelatih, BH menjejak Muhammad Farhan untuk berkongsi pengalaman itu secara eksklusif. Ikuti kisah diceritakan bekas doktor pelatih berusia 34 tahun itu.

Selepas sebulan tamat pengajian pada 2012, saya ditempatkan di sebuah hospital di Pahang sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di wad pediatrik yang dianggap wad paling mencabar dalam kalangan doktor pelatih.

Pediatrik ini memerlukan kita sebagai doktor melakukan penjagaan sangat rapi, sebab kalau rawat orang dewasa, dia boleh bercerita apabila sakit, tapi kanak-kanak berusia seawal setahun ini tak tahu nak maklumkan jika sakit.

Ketika itu, saya ditugaskan menjaga lapan katil, tetapi rezeki tidak berapa baik apabila pada hari kedua bertugas, rakan sekerja tidak datang tanpa sebab, justeru memerlukan saya terpaksa menjaga bahagiannya juga.

Hari itu, saya menjaga 16 katil semuanya, kena buat clerking (merekod data), memeriksa dan mencatat sejarah pesakit serta beberapa tugasan berkaitan. Tugas itu perlu dibuat terperinci sebab kalau salah, saya akan dimarahi doktor pakar.

Bagi memenuhi tuntutan itu, saya terpaksa masuk kerja seawal jam 3 pagi, sebab kalau datang waktu bekerja jam 8 pagi, saya tidak sempat buat clerking untuk lapan pesakit.

Jadi, setiap hari saya mula bekerja jam 3 pagi dan pulang pula selewat jam 6 petang atau 7 malam.

Hari demi hari, tanpa disedari keadaan itu menyebabkan saya mengalami tekanan dalaman. Ia bertambah buruk apabila terpaksa bertugas di bawah ketua menguruskan doktor pelatih yang 'kaki kipas'.

Kenapa saya cakap begitu, sebab ada satu masa saya kemalangan motosikal sehingga mengalami luka teruk. Saya dapat cuti sakit tiga hari dan apabila saya serahkan sijil sakit kepadanya, dia memberitahu saya hanya boleh cuti sakit sehari saja.

Demi tanggungjawab, saya menuruti arahan itu dengan tetap datang bertugas seperti biasa walaupun luka belum sembuh dan terpaksa meminta jururawat mencuci luka.

Lebih menyedihkan, saya mendapat tahu dia bercuti seminggu untuk berkahwin dan masa itu, saya bercakap kepada diri di manakah perikemanusiaan dia sebagai doktor.

Dia adalah seorang doktor yang tanggungjawabnya merawat pesakit tapi apabila rakan sekerja sakit, dia tak kisah. Awak tahu kenapa ini berlaku, sebab dia rapat dengan doktor pakar.

Bermula detik itulah, lama kelamaan perasaan saya menjadi kosong, bukan kerana marah. Masa itu, saya sekadar datang kerja tetapi tidak rasa apa-apa dan berlarutan selama sebulan.

Saya balik rumah hanya untuk tidur, bangun pergi kerja dan tanpa saya sedar, rutin membuatkan saya tertekan, sehingga nampak pokok pun, rasa nak langgar sebab saya rasa kosong. Apa sahaja saya buat, saya dimarahi.

Ada ketika dimarahi kerana tersilap mengisi clerking, dia mengugut, "kalau ikut aku, aku tak mahu luluskan kau".

Jenis penderaan yang saya hadapi ketika bergelar doktor pelatih lebih kepada masalah dengan Pegawai Perubatan dan Ketua Doktor Pelatih.

Saya terpaksa menanggung kerja doktor pelatih lain. Ketika itu saya masih tak pandai menangani beban tugas yang banyak. Secara tak sedar ia memakan diri, namun saya teruskan juga.

Lebih menyedihkan, doktor pelatih yang tak datang itu, tidak pula dikenakan sebarang tindakan, sebab apa? Sebab dia anak somebody.

Selain itu, penderaan doktor pelatih kanan lagi. Bagi saya setakat kata-kata tidak memberi kesan sebaliknya beban tugas yang terlebih termasuk saya kena ambil alih tugas doktor pelatih yang sering datang lewat tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan.Akhirnya, saya perlu menanggung kerja mereka. Ada satu masa, saya kerja shif malam, masa itu saya hanya berdua bersama seorang lagi doktor pelatih.

Apabila shif malam, saya kena clerking 20 katil dalam satu wad. Hari itu memang hari sibuk, disebabkan seorang lagi doktor pelatih tidak datang, saya terpaksa buat semuanya.

Kemudian dia datang jam 3 pagi, alasannya tertidur. Apabila lapor kepada ketua doktor pelatih, senyap, tiada tindakan dan perkara ini berlaku berulang-kali.

Doktor pelatih terbabit terlepas daripada masalah yang dia buat. Sayalah yang terpaksa menanggung kesannya, jika silap sikit dimarah. Itulah punca buli yang berlaku.

Kita tak boleh nak melawan mereka (pegawai perubatan) yang akan tentukan penilaian kita, jika lawan mereka akan ugut dan gagalkan kita.

Tekanan yang saya alami mula disedari orang sekeliling pada penghujung saya menjalani latihan di wad pediatrik. Ketika itu saya kena buat VIVA (ujian lisan latihan praktik) dan masa saya menjalani peperiksaan dengan doktor pakar, saya jadi kosong, saya tak boleh menjawab dan akhirnya gagal.

Saya menangis kerana ketika belajar saya tak pernah gagal. Jadi saya panggil ibu bapa saya berbincang dengan doktor pakar. Beliau rujuk saya kepada jabatan kecemasan dan akhirnya saya disahkan menghidap Major Depression Disorder.

Kriteria dialami ialah saya tidur terlampau banyak lebih 12 jam sehari tetapi tidak pernah berasa segar. Saya kehilangan minat sebelum ini, makan tak pernah kenyang dan ada keinginan membunuh diri.

Selepas itu, bermulalah kisah gelap saya dan dimasukkan ke wad psikiatri selama seminggu. Selepas seminggu, saya bekerja seperti biasa.

Malang buat saya apabila didiagnosis, saya mengalami bipolar. Akhirnya lesen perubatan saya ditarik.

"Saya tanya mereka, apabila lesen saya ditarik, macam mana nak kerja? Mereka jawab, you work as a houseman or you quit (awak bekerja sebagai doktor pelatih atau berhenti). Itu jawapan mereka. Sangat kejam.

Jadi, dari 2013 hingga 2015, saya ditukarkan ke pelbagai jabatan dan saya tidak dibenarkan menyentuh pesakit walaupun saya seorang doktor.

Saya reda dengan keputusan itu dan tetap bertugas seperti biasa sehingga saya menerima surat pemberhentian atas alasan tidak menghabiskan tempoh latihan. Hakikatnya, bukan saya tak nak habiskan, mereka tak beri saya lesen untuk itu.

Berita berkaitan:

  • Pengakuan bekas doktor pelatih dibuli
  • Doktor pelatih mangsa buli bangkit bina kehidupan
  • Berita Harian X