Sabtu, 14 Mei 2022 | 1:49pm

HFMD: Tutup taska, pusat jagaan bukan penyelesaian

KUALA LUMPUR: Penutupan sementara tadika, taska dan pusat asuhan kanak-kanak bukan penyelesaian terbaik bagi mengawal penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) mengambil kira risiko untuk dijangkiti tetap ada dan boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Dr Muhamad Hazizi Muhamad Hasani, berkata tidak dinafikan pergaulan rapat kanak-kanak di premis penjagaan awam adalah faktor utama penularan pelbagai jangkitan virus bukan sahaja HFMD, tetapi penyakit lain seperti cacar air (chickenpox) dan demam campak (measles).

"Peningkatan kes HFMD di Malaysia sememangnya sudah dijangka selepas pembukaan sektor ekonomi, sosial dan persekolahan.

"Pada pendapat saya, tidak wajar untuk tadika, taska atau pusat asuhan kanak-kanak ditutup bagi mengawal jangkitan kerana risikonya tetap ada sepanjang masa.

"Apa paling penting adalah tindakan kawalan dan pencegahan jangkitan di pusat jagaan ini," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata trend penyakit HFMD dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu meningkat secara berterusan sejak awal tahun hingga kini.

Katanya, penularan jangkitan HFMD dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun di Selangor kini sudah melebihi paras amaran 6,748 kes direkodkan setakat 7 Mei lalu dengan 95 peratus daripadanya adalah kluster tadika, taska serta pusat jagaan harian kanak-kanak.

Dr Muhamad Hazizi berkata, amalan 'gatekeeping' atau kawal selia yang ketat khususnya memastikan tiada kanak-kanak sakit yang hadir ke tadika, taska dan pusat jagaan akan mengurangkan risiko jangkitan secara ketara.

"Selain itu, amalan pembersihan dan nyahkuman yang kerap juga akan membantu membasmi kuman dan virus yang ada di permukaan dan peralatan di tadika, taska dan pusat asuhan," katanya yang turut memberitahu, kes HMFD sebelum ini terkawal disebabkan pelbagai protokol bagi membendung bagi mengawal penularan COVID-19.

Jelasnya, kawalan pergerakan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat membantu mengurangkan risiko jangkitan pelbagai virus termasuk HFMD, namun situasi berubah selari dengan pelbagai kelonggaran diumumkan kerajaan pada fasa endemik ini.

Berita Harian X