Sabtu, 14 Mei 2022 | 12:20pm
Gambar fail, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan. - Foto REUTERS
Gambar fail, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan. - Foto REUTERS

Agong zahir ucapan takziah kemangkatan Presiden UAE

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan yang meninggal dunia semalam.

Seri Paduka Baginda berdua menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Almarhum dan berharap seluruh keluarga pemimpin itu sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.

"Susulan berita kemangkatan Almarhum, Seri Paduka Baginda menghubungi Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi menerusi panggilan telefon untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi kepada beliau dan seluruh keluarga.

- Ikhsan Facebook Istana Negara
- Ikhsan Facebook Istana Negara

"Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin," menurut catatan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Catatan itu juga menyatakan Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Mohamed mempunyai hubungan yang akrab ketika sama-sama menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst.

"Seri Paduka Baginda dan Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan adalah rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 dan 1979, dan persahabatan akrab kedua-dua pemimpin kekal hingga sekarang," katanya yang dipetik daripada catatan itu.

Seri Paduka Baginda turut berkenan berangkat ke Abu Dhabi, UAE esok atas jemputan peribadi Yang Mulia Sheikh Mohamed dan akan bersama-sama ketua negara dan kerajaan lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Istiadat penghormatan terakhir Almarhum Sheikh Khalifa dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei 2022.

Untuk rekod, Presiden UAE yang memerintah sejak 2004 itu meninggal dunia pada usia 73 tahun, selepas berehat lama akibat sakit.

Sementara itu Al-Sultan Abdullah berkenan supaya bendera peribadi baginda dikibar separuh tiang selama lima hari mulai hari ini di Istana Negara, tanda berkabung.

Baginda juga menitahkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia supaya mengadakan majlis bacaan Yasin, tahlil tiga hari mulai hari ini untuk dihadiah kepada Almarhum Sheikh Khalifa.

Berita Harian X