Sabtu, 14 Mei 2022 | 9:26am

Hospital Jempol tidak lagi terima pesakit COVID-19

JEMPOL: Hospital Jempol yang sebelum ini dijadikan hospital merawat pesakit COVID-19 kembali berperanan merawat pesakit biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Nawal Mohamed Amin, berkata ia susulan hospital berkenaan tidak lagi menerima pesakit COVID-19 sejak 11 Mei lalu.

Katanya, kemasukan pesakit bukan COVID-19 juga semakin meningkat menyebabkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memutuskan untuk menutup fungsi Hospital Jempol sebagai hospital merawat pesakit COVID-19.

"Alhamdulillah, keadaan dilaporkan semakin baik di Jempol selain kes terkawal dan prosedur operasi standard (SOP) fasa endemik lebih terbuka.

"Oleh kerana tiada lagi keperluan menguruskan kes COVID-19 maka Hospital Jempol akan berfungsi merawat pesakit sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nawal yang juga Pegawai Daerah Jempol berkata sekiranya ada pesakit yang memerlukan rawatan COVID-19, mereka akan dihantar ke Hospital Tampin bagi menerima rawatan.

Jempol pada Khamis lalu hanya merekodkan satu kes positif menjadikan kes positif keseluruhan di daerah berjumlah 16,282 kes.

Sebanyak 113 kematian direkodkan di daerah itu sejak pandemik melanda negara pada 2020.

Berita Harian X