Jumaat, 13 Mei 2022 | 8:52pm

Keputusan kompaun Serba Dinamik, 4 eksekutif elak risiko kesan ekonomi - Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati prosiding jenayah terhadap syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas (O&G) bersepadu, Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) serta empat eksekutifnya tidak sesuai atau wajar diteruskan berikutan kesan ekonomi yang akan berlaku.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, Serba Dinamik kini berdepan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerjanya, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain.

Selain itu, beliau berkata impak pertuduhan terhadap Serba Dinamik adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan teruk yang dikatakan dilakukan oleh syarikat itu.

"AGC mendapati bahawa keputusan mengkompaun kesalahan Serba Dinamik adalah satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku, setelah mengambil kira hal keadaan kes ini.

"Tindakan ini akan membolehkan Serba Dinamik memberi fokus bagi memperbetul kesilapan dan melaksanakan tindakan segera untuk mematuhi peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang sebelum ini Serba Dinamik pernah dan jelas patuhi tanpa kesilapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Serba Dinamik dan empat eksekutifnya masing-masing dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Mereka terdiri Pengarah Eksekutif Bukan Bebas, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi, 39; serta Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman, 37.

Perkara itu disahkan ketika sebutan kes berkenaan yang dibuat secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohd Khalid, Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin dan Datin Sabariah Othman, susulan Serba Dinamik mengumumkan syarikat dan empat tertuduh membuat penyelesaian penuh kompaun kepada SC.

Dalam pada itu, Idrus berkata tindakan kompaun maksimum dikenakan atas kesalahan dilakukan Serba Dinamik dan empat eksekutifnya dianggap sebagai memadai.

Beliau berkata, pihaknya berpandangan kepentingan awam lebih terjamin dengan mengkompaun kesalahan itu bagi mengelak satu perbicaraan lama dan berlarutan.

Beliau berkata, dengan mengkompaun kesalahan itu, tindakan punitif terhadap Serba Dinamik dapat dicapai serta-merta tanpa melalui proses perbicaraan yang lama dan syarikat itu boleh mengalihkan sumber dan masa yang ada untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa yang berkenaan, bagi mematuhi keperluan undang-undang.

Mengulas lanjut, katanya pihaknya menyedari tahap pembuktian perlu dilepasi pihak pendakwaan untuk membuktikan pertuduhan berdasarkan keterangan sedia ada dan menegaskan keputusan mengkompaun kesalahan dikatakan dilakukan Serba Dinamik dan eksekutifnya adalah sesuai dan wajar mengikut hal keadaan kes ini.

Sehubungan itu, katanya pada 7 April lalu, Jabatan Peguam Negara memberikan izin untuk mengkompaun semua kesalahan itu kepada SC dan pihak terbabit mengikut Seksyen 373 Akta 671 mengkompaun semua kesalahan itu.

"Jumlah keseluruhan kompaun perlu dibayar adalah RM16 juta yang mana mereka sudah pun membayarnya pada 9 Mei lalu," katanya.

Berita Harian X