Jumaat, 13 Mei 2022 | 6:58pm
Datuk Seri Rina Harun menyampaikan bantuan kepada R Theanmoli, di rumah wanita itu Dengkil, Selangor - Foto NSTP/FB Rina Harun
Datuk Seri Rina Harun menyampaikan bantuan kepada R Theanmoli, di rumah wanita itu Dengkil, Selangor - Foto NSTP/FB Rina Harun

JKM bantu ibu tunggal tampung keperluan perubatan, keluarga

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan bantuan tambahan RM500 sebulan kepada ibu tunggal R Thenmoli bagi meringankan beban kewangannya, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata, bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU) atau pesakit kronik akan dimulakan pada bulan ini bagi menampung keperluan perubatan ibu kepada dua cahaya mata itu.

"Pagi tadi saya melawat sendiri keadaan R Theanmoli, di Dengkil, Selangor yang dihimpit kemiskinan dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

"Akibat kesukaran bernafas beliau memerlukan bekalan oksigen untuk membantunya bernafas juga perlu menjalani pemeriksaan serta rawatan dengan kerap di Hospital Putrajaya," katanya selepas melakukan ziarah kasih ke kediaman keluarga terbabit, pagi tadi.

Ibu tunggal berusia 40 tahun mempunyai dua anak masing-masing berusia enam dan tujuh tahun.

Difahamkan, akibat keterbatasan ibu mereka, anak-kanak kecil itu terpaksa memikul tugas menjaganya sebaik pulang dari sekolah.

Rina berkata, bantuan tambahan itu diluluskan berikutan Theanmoli terlantar kerana obesiti dan tidak mempunyai keupayaan untuk bekerja.

"Beliau sebelum ini adalah penerima bantuan am JKM yang bermula November 2018 sehingga kini sebanyak RM350 sebulan.

"Selain dua bantuan itu, apa yang penting bagi saya sebenarnya adalah penyelesaian secara holistik terhadap masalah dihadapi wanita ini. Dua orang anaknya ini juga akan dibantu dari segi pendidikan dan keperluan lain.

"Justeru saya meminta pegawai JKM untuk meneruskan advokasi kepada keluarga ini untuk melihat keperluan yang boleh dibantu bagi menambah baik kehidupannya sekeluarga," katanya.

Katanya, itu adalah peranan yang dimainkan JKM iaitu pihak terbabit tidak hanya menyalurkan bantuan seperti mana yang dilakukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan.

"JKM akan meneliti keperluan klien secara holistik untuk membangunkan kendiri mereka, komuniti dan negara," katanya.

Berita Harian X