X
Jumaat, 13 Mei 2022 | 2:33pm
Orang ramai yang membeli sayur sedang berdepan harga sayuran naik di antara 30 hingga 50 peratus sejak awal Aidilfitri lalu berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis sayur, selain kenaikan mendadak harga baja. NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN
Orang ramai yang membeli sayur sedang berdepan harga sayuran naik di antara 30 hingga 50 peratus sejak awal Aidilfitri lalu berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis sayur, selain kenaikan mendadak harga baja. NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN

Harga sayur naik hingga 50 peratus sejak awal Aidilfitri

JOHOR BAHRU: Harga sayur-sayuran naik di antara 30 hingga 50 peratus sejak awal Aidilfitri lalu, berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis bekalan, selain kenaikan mendadak harga baja.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata kenaikan harga sayur turut diburukkan dengan kekurangan tenaga buruh asing di ladang sayur seluruh negara.

Katanya, paling menjejaskan pengusaha sayuran negara apabila harga baja yang sebelum ini hanya RM120 seguni, kini naik mendadak kepada RM250 seguni, selain faktor hujan lebat yang akan mengurangkan hasil sayuran di ladang.

"Antara sayuran yang naik harga termasuk timun, sawi dan bayam yang masing-masing naik RM1 hingga RM2.50 sekilogram (kg).

"Kenaikan harga sayuran juga banyak bergantung kepada bekalan sayuran itu, jika banyak harga murah, namun jika tiada bekalan harganya naik. Sebelum ini harga sayuran akan naik dalam tempoh dua minggu, namun sekarang dua hari pun jika bekalan terjejas harganya akan naik.

"Faktor harga sayuran naik selepas Aidilfitri lalu berikutan kos harga baja yang naik mendadak ke RM250 seguni berbanding hanya RM120. Selain itu, faktor utama kenaikan harga sayuran berikutan kekurangan tenaga buruh asing yang krtikal di ladang-ladang sayur hingga menjejaskan bekalan.

"Sebelum ini pekerja asing akan mula bekerja jam 3 pagi bagi memetik sayuran di ladang sebelum lori datang pada jam 6 pagi untuk dihantar ke pasar bagi memastikan kesegarannya. Namun pekerja tempatan enggan mula bekerja dari jam 3 pagi sebaliknya mahu mula bekerja dari jam 7 atau 8 pagi, menyebabkan tiada pekerja yang mahu memetik sayuran di ladang sehingga akhirnya ia rosak di ladang," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peniaga pasar basah Taman Dahlia, Tampoi dekat sini, Suwanto Baharuddin, 48, berkata harga sawi jepun, sawi putih dan bayam antara yang mencatatkan kenaikan sejak awal Syawal lalu.

Katanya, sawi jepun, sawi putih dan bayam yang sebelum ini dijual pada harga RM5.50 sekilogram, kini naik antara 7.50 hingga RM8 sekilogram.

"Paling naik ketika ini adalah daun sup yang naik RM12 kg berbanding hanya RM7.50 hingga RM8 kg,ketika bulan puasa lalu.

"Kebanyakan sayuran dari Cameron Highlands mencatatkan kenaikan harga dengan pembekal memberi alasan bekalan kurang dan ketiadaan pekerja," katanya.

Berita Harian X