Khamis, 12 Mei 2022 | 11:48am
Hampir keseluruhan pesakit HFMD di Kedah pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam tempoh antara tujuh ke 10 hari. - Foto hiasan
Hampir keseluruhan pesakit HFMD di Kedah pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam tempoh antara tujuh ke 10 hari. - Foto hiasan

Kes HFMD di Kedah kini 1,016

ALOR SETAR: Kedah mencatatkan sebanyak 1,016 kes kumulatif penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) setakat ini, iaitu peningkatan 47 peratus berbanding tempoh sama pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata peningkatan kes HFMD dilihat ketara bermula pada Minggu Epidemiologi ke-13 yang melebihi paras ambang epidemik.

"Bagi tempoh 1 hingga 7 Mei lalu, Kedah mencatatkan 102 kes HFMD baharu dengan kes tertinggi dicatat di daerah Kuala Muda sebanyak 29 kes, Kota Setar (22 kes) dan Padang Terap (17 kes).

"Majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan seperti demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Bagaimanapun, hampir keseluruhan pesakit HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam tempoh antara tujuh ke 10 hari," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, penyakit HFMD adalah disebabkan jangkitan pelbagai jenis virus, terutama virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

"Jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis atau jangkitan otak, pneumonitis (jangkitan paru- paru) dan myocarditis (jangkitan otot jantung)," katanya.

Berikutan sambutan Aidilfitri yang masih disambut lagi ketika ini, beliau meminta orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga.

"Antara langkah pencegahan boleh diambil adalah mengamalkan penjagaan kebersihan diri termasuk amalan mencuci tangan dengan kerap," katanya.

Berita Harian X