X
Rabu, 11 Mei 2022 | 5:37pm

Pesawah tuntut naik harga, subsidi padi

SEKINCHAN: Kira-kira 100 pesawah dari berhimpun di Site B di sini hari ini menyertai demonstrasi aman berhubung penghasilan padi mereka.

Dalam cuaca mendung, mereka berkumpul mulai jam 11.30 pagi menuntut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menaikkan harga jaminan padi dari RM1,200 kepada RM1,400 satu tan; kembalikan potongan padi basah 17 peratus dan menaikkan subsidi padi dari RM360 kepada RM500 satu tan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim turut menyertai mereka.

Suee Lim berkata, pesawah melahirkan rasa tidak puas hati apabila harga padi turun daripada RM1,300 kepada RM1,280 untuk satu tan metrik.

Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan pesawah tertekan hingga menjejaskan pendapatan pada musim kali ini.

"Jika kerajaan bersedia melaksanakan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500, sudah tentu nasib dan taraf hidup pesawah juga perlu diberi perhatian serius.

"Pelaksanaan ini (gaji minimum) disambut baik, tetapi bagaimana dengan nasib pesawah yang berkorban demi negara lebih-lebih lagi pendapatan mereka secara purata hanya RM1,000 sebulan

"Pendapatan yang diperoleh sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara keluarga yang ketika ini berdepan kos sara hidup tinggi," katanya pada sidang media selepas demonstrasi itu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor, Mohammad Ashik Abdul Rahman.

Suee Lim berkata pesawah juga berdepan dengan pemutuan padi yang tinggi hingga melebihi 28 peratus.

"Kerajaan harus mengurangkan pemotongan pemutuan padi kembali kepada 17 peratus dan bukannya 20, 25 atau 30 peratus pada ketika ini.

Suee Lim berkata beliau telah menghantar surat kepada MAFI sejak dua hari lalu bagi memastikan ada penyelesaian berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, seorang pesawah, Sabli Sobron, 60, berkata, peningkatan kos input pertanian membebankan mereka terutama dalam keadaan harga padi menurun dan pemotongan pemutuan tinggi.

"Berlaku pengurangan hasil pengeluaran pada tahun ini disebabkan peningkatan kos pertanian selain harga baja dan racun naik sekali atau dua kali ganda.

"Keadaan ini sekali gus merisaukan kami yang bergantung penuh kepada sumber pendapatan ini ," katanya.

Rakannya, Muhammad Osman, 56, berkata hasil pengeluaran padinya terjejas teruk apabila musim sebelumnya dia memperoleh purata 10 tan berbanding enam tan pada musim ini.

Sementara itu, Mohammad Ashik berkata, pihaknya melihat aduan pesawah itu wajar dan berasas.

"Kita akan memanjangkan perkara ini kepada pihak atasan.

"Untuk harga padi dan pemotongan pemutuan pula, kita akan memanggil kilang padi tempatan bagi membantu menyelesaikan perkara itu selewat-lewatnya minggu ini atau minggu depan," katanya.

Kira-kira 100 pesawah menyertai demonstrasi aman bagi mengemukakan tiga tuntutan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Site B, hari ini - Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Kira-kira 100 pesawah menyertai demonstrasi aman bagi mengemukakan tiga tuntutan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Site B, hari ini - Foto NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
Berita Harian X