Rabu, 11 Mei 2022 | 2:52pm

Kelantan bina takungan besar untuk simpan bekalan air

KOTA BHARU: Takungan air berkapasiti besar akan dibina di Kelantan pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di seluruh negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, takungan berkenaan akan dibina di satu lokasi yang sudah dikenal pasti di Machang menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sudah dipersetujui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Beliau berkata, cadangan pembinaan takungan air itu sebenarnya sudah dibincangkan sejak dua tahun lalu antara kerajaan negeri dengan KASA dan ia pada dasarnya sudah dipersetujui.

"KASA akan mengumumkan jumlah peruntukan dalam masa terdekat dan kementerian sama akan melantik kontraktor bagi pembinaan takungan air terbabit.

"Projek ini juga adalah antara usaha kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah air yang berlaku di Kelantan," katanya ketika ditemui di pejabatnya selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darulnaim hari ini.

Mengulas lanjut, katanya air di Kelantan termasuk air bawah tanah, hujan dan sungai sebenarnya melebihi keperluan, namun tidak ada tempat untuk menyimpan bekalan itu.

Justeru, dengan adanya takungan itu, maka ia dapat menyimpan bekalan air negeri ini yang banyak.

Mengulas masalah air negeri, Mohd Amar berkata, Kelantan memerlukan sekitar RM7 bilion yang mana ia termasuk kos untuk pembinaan loji baharu dan penukaran paip pecah.

"Kos penukaran paip adalah besar dan kos RM7 bilion (yang diperlukan) itu tidak besar. Misalnya Perlis yang memerlukan RM3 bilion untuk menyelesaikan masalah air, sedangkan negeri itu (Perlis) ini kecil berbanding Kuala Krai yang lagi besar tiga kali ganda.

"Jadi tidak pelik kalau Kelantan memerlukan RM7 bilion untuk selesaikan masalah air. Macam saya sebut Kelantan perlu menukar sistem paip lama membabitkan jarak 5,000 kilometer. Kalau kita naik kapal terbang, kita sudah sampai ke Dubai.

"Projek tukar paip ini memakan masa agak lama, bukannya dalam masa satu hari. Orang awam ini tidak faham isu (selesai masalah air dengan cepat)," katanya.

Mengenai dakwaan air keruh, beliau berkata, Kelantan mengambil air bawah tanah dan bukannya air sungai dan pada dasarnya ia bersih, namun warna kekuningan atau keruh disebabkan kandungan besi tinggi yang bertindak balas dengan klorin.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Amar menegaskan masalah air Kelantan yang tidak selesai disebabkan UMNO yang membatalkan projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) bernilai RM600 juta pada 1990 yang sudah diluluskan Kerajaan Pusat.

Kelantan memerlukan sekitar RM7 bilion bagi mengatasi isu bekalan air negeri, khususnya untuk tujuan pembinaan loji baharu dan penukaran paip pecah.
Kelantan memerlukan sekitar RM7 bilion bagi mengatasi isu bekalan air negeri, khususnya untuk tujuan pembinaan loji baharu dan penukaran paip pecah.
Berita Harian X