Rabu, 11 Mei 2022 | 1:52pm
Kerajaan disaran melabur dalam memperbaiki ketersambungan, kebolehcapaian dan keboleharapan lingkaran MRT dan LRT sedia ada, sebelum membina lingkaran MRT3 yang jauh lebih mahal.
Kerajaan disaran melabur dalam memperbaiki ketersambungan, kebolehcapaian dan keboleharapan lingkaran MRT dan LRT sedia ada, sebelum membina lingkaran MRT3 yang jauh lebih mahal.

Tak perlu tergesa-gesa laksana MRT3

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu melaksanakan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang membabitkan kos cukup tinggi sehingga RM50 bilion itu secara tergesa-gesa.

Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang berkata, ia mengambil kira beberapa faktor termasuk kemungkinan akan berlaku pertambahan kos sekiranya nilai mata wang negara terus menyusut.

Beliau berkata, kos keseluruhan MRT3 yang mungkin membabitkan syarikat perunding dan pakar luar negara akan meningkat sekiranya kadar penyusutan nilai mata wang melebihi kadar diunjurkan.

"Sejak Mac lalu, nilai mata wang kita menyusut sebanyak 4.3 peratus. Adakah kadar ini dalam lingkungan yang boleh diserap oleh pembiaya projek tanpa pertambahan kos?

"Apakah mekanisme untuk mengatasi kenaikan harga bahan mentah pembinaan yang mendadak seperti bar keluli dan sebagainya," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu merujuk dan membentangkan butiran projek MRT3 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Parlimen serta Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi, supaya ahli parlimen berpeluang membahas projek mega ini dengan teliti.

Katanya, RM50 bilion adalah jumlah yang sangat besar terutamanya dalam era pasca COVID-19 ini, maka projek MRT3 wajib diteliti dan dipantau oleh Parlimen untuk memastikan wang rakyat dibelanja dengan lebih cermat dan berhemah.

"Ketika rakyat jelata sedang bergelut untuk membiayai kos sara hidup yang makin meningkat, kerajaan harus mempamerkan sikap berwaspada dalam melaksanakan projek mega yang membabitkan wang rakyat.

"Kini rakyat terpaksa mengeluarkan wang pencen dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk hidup, apakah kewajaran kerajaan melaksanakan projek MRT3 yang akan membebankan kita dengan hutang berpuluh bilion.

"Apatah lagi, kerajaan terpaksa memberi jaminan pinjaman kepada pembiaya projek MRT3, iaitu Danainfra Nasional Berhad," katanya.

Lih Kang pada masa memaklumkan, terdapat banyak persoalan lain seperti bagaimana MRT3 dapat mencapai sasaran 'ridership' atau bilangan penumpang sedangkan MRT1 masih gagal mencapai sasaran.

"Kenapa kerajaan tidak melabur dalam memperbaiki ketersambungan, kebolehcapaian dan keboleharapan lingkaran MRT dan LRT (Transit Aliran Ringan) sedia ada, sebelum membina lingkaran MRT3 yang jauh lebih mahal," katanya.

Menurut MRT Corp, proses tender untuk MRT3 bermula pada Mei ini, dengan pihak berkenaan mempelawa syarikat berpotensi untuk mengambil bahagian dalam permintaan untuk cadangan (RFP) bagi pakej kerja perkhidmatan perundingan pengurusan projek MRT3 yang membabitkan pembinaan laluan lingkaran sepanjang 51 kilometer itu.

Berita Harian X