Isnin, 9 Mei 2022 | 3:09pm

DBKL laksana 14 tindakan segera tangani banjir kilat di 25 'hotspot'

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan 14 tindakan khusus bagi menangani segera masalah banjir kilat di 25 kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan hingga Julai depan melalui Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata, pelan tindakan terbabit akan berpandukan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

"Tindakan berkenaan termasuklah memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan, tidak tersumbat atau terhalang. Kerja pemantauan dan pembersihan ini akan dilakukan setiap hari oleh pasukan khas DBKL.

"Seterusnya, menaik taraf 'scupper drain' (saluran masuk air) di semua kawasan 'hotspot', meliputi melebarkannya antara satu hingga dua kaki mengikut keperluan, membaik pulih serta memastikan kecerunan saluran dalam keadaan memuaskan.

"Kerja-kerja ini sudah dimulakan di beberapa 'hotspot' seperti Jalan Brunei, Jalan Pudu, Jalan Changkat Thambi Dollah, hadapan Balai Polis Salak Selatan, Jalan Antoi, Jalan Pintasan Segambut, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Maharajalela dan Bulatan Dato Onn," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, tindakan lain termasuk menempatkan bilangan jentera dan petugas mencukupi di lokasi 'hotspot'; mengenal pasti laluan lencongan yang perlu dibina serta-merta bagi mengelakkan kenderaan terperangkap dalam banjir.

Membina 'sump' baharu bagi menyalurkan air ke longkang tepi jalan sedia ada; meletakkan guni pasir di kawasan rendah di tepi sungai bermula Jumaat lalu; melaksana kerja mengeluarkan kelodak di kolam takungan banjir di Lorong Maarof, Jalan Travers dan Universiti Malaya.

Memastikan tangki 'On Site Detention' (OSD) milik persendirian berfungsi; memastikan sungai dan saluran air tidak terhalang sampah, akar pokok atau tumbuhan liar; menggunakan lebih banyak 'stone mastic asphalt' (SMA), iaitu material resap air, untuk permukaan dan turapan jalan.

Menjadikan aktiviti 'plogging' sebagai aktiviti rutin; menambah kawasan Zon Bebas Sampah di Kuala Lumpur; dan mengeluarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) amaran banjir kilat kepada semua pemilik telefon bimbit yang berada dalam kawasan ibu kota.

Mahadi berkata, DBKL sekali gus berharap seluruh warga kota dapat memberi kerjasama dalam pelaksanaan pelan tindakan itu, terutama mengelakkan pembuangan sampah merata-rata khususnya ke dalam sistem saliran.

"Pembekal utiliti juga diminta tidak menjadikan longkang sebagai laluan kabel serta paip utiliti mereka yang boleh menyebabkan aliran air terhalang dan menyumbang berlakunya banjir kilat," katanya.

Bagi langkah penyelesaian jangka panjang pula, beliau berkata, pihaknya sudah melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi melaksanakan kajian berkaitan selama 12 bulan dan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.

25 kawasan 'hotspot' banjir kilat dikenal pasti DBKL

1. Jalan Antoi, Kepong

2. Jalan Pintasan Segambut

3. Jalan Sultan Azlan Shah (hadapan Balai Polis Batu Tiga)

4. Jalan Rahmat, Jalan Sultan Azlan Shah

5. Lebuh Raya Sultan Iskandar (hadapan bangunan Parlimen)

6. Lebuh Raya Sultan Iskandar

7. Jalan Sultan Haji Ahmad Shah (Jalan Khidmat Usaha)

8. Jalan Kuching (sebelum Bulatan Segambut)

9. Jalan Segambut (hadapan sekolah memandu)

10. Bulatan Dato Onn, Jalan Parlimen dan sekitar

11. Dataran Merdeka (hadapan gereja)

12. Lebuh Ampang dan sekitar

13. Jalan Brunei/Jalan Pudu

14. Jalan Changkat Thambi Dollah

15. Jalan Tun Sambanthan, Brickfields

16. Jalan Travers (hadapan IPD Brickfields)

17. Jalan Pantai Baharu (hadapan pintu pagar Universiti Malaya)

18. Jalan Maarof off Jalan Bangsar

19. Jalan Maharajalela

20. Jalan Semantan, Bukit Damansara

21. Jalan Bruas, Bukit Damansara

22. Kampung Pasir

23. Kampung Periuk

24. Kampung Kasipillay

25. Hadapan Balai Polis Salak Selatan

Mahadi pada sidang media, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Mahadi pada sidang media, hari ini. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X