Ahad, 8 Mei 2022 | 7:53pm
DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP.

'Gesaan minta MB Kelantan letak jawatan adalah gimik politik' - SU Politik MB

KOTA BHARU: Gesaan meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob supaya meletak jawatan berdasarkan tulisan pemilik akaun Facebook bernama Husam Musa adalah gimik politik semata-mata.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, berkata tempoh empat bulan untuk penyelesaian masalah air di Kelantan tidak pernah dinyatakan oleh Menteri Besar.

Katanya, sebaliknya ia dikemukakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai tempoh yang dijangka dapat menyelesaikan isu kadar pengeluaran bekalan air pada masa itu.

"Namun, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air untuk rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri juga mengambil beberapa langkah, antaranya menyediakan lori tangki dan tangki statik bagi menampung bekalan air di kawasan terjejas, terutama pada musim cuti perayaan dengan menyediakan peruntukan sehingga RM11.6 juta.

"AKSB ketika ini berusaha mengambil langkah drastik bagi meningkatkan tahap bekalan air. Beberapa projek Loji Rawatan Air (LRA) menunjukkan kemajuan bagi meningkatkan tahap pengeluaran bekalan dan mengatasi kadar kehilangan air tidak terhasil (NRW)," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Pelan Induk AKSB (2021-2030) menyasarkan untuk mengurangkan NRW daripada 50 peratus kepada 30 peratus dan meningkatkan liputan bekalan air daripada 70 peratus kepada 95 peratus.

Katanya, bagi projek LRA Kampung Telok di sini, yang dibangkitkan AKSB sedang dalam tindakan menyelesaikan pengeluaran sehingga 30 juta liter sehari (JLH) dengan syarikat kontraktor.

"Justeru, gesaan yang meminta Menteri Besar meletak jawatan berdasarkan tulisan pemilik (akaun) Facebook yang bernama Husam Musa pada 7 Mei (semalam) adalah gimik politik semata-mata," katanya.

Terdahulu, Husam yang juga Pengerusi Save Kelantan menerusi laman Facebooknya semalam, menggesa pihak berkenaan supaya memberi jawapan penjelasan punca LRA Kampung Telok, gagal.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai masalah air di Kelantan yang gagal diselesaikan dan adakah Menteri Besar Kelantan sedia letak jawatan?

Berita Harian X