Ahad, 8 Mei 2022 | 6:40pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin beramah mesra bersama tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Kehadiran ke Rumah Terbuka Aidilfitri zahirkan konsep Keluarga Malaysia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri berkata kehadiran lebih 100,000 pengunjung ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2022 menzahirkan konsep keluarga besar Malaysia yang diidamkannya.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan sasaran awal kehadiran Keluarga Malaysia adalah seramai 70,000 namun sehingga program berkenaan berakhir kira-kira jam 6 petang tadi lebih 100,000 yang hadir.

Katanya, beliau turut berterima kasih kepada semua pengunjung yang hadir ke majlis berkenaan.

"Apa yang digambarkan pada hari ini dengan kehadiran yang ramai berbilang kaum seperti satu keluarga besar iaitu Keluarga Malaysia seperti yang saya idam-idamkan.

"Kita sasarkan 70,000 pengunjung, tapi saya dimaklumkan lebih 100,000 hadir. Sebab itu saya minta jangka masa ditambah dari apa yang kita tetapkan," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka di Seri Perdana itu berakhir.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin; Ketua Setiausaha Negara, Tan sri Mohd Zuki Ali serta Anggota Kabinet.

Ismail Sabri berkata, sambutan luar jangka itu menyebabkan majlis yang dijadualkan bermula jam 10 pagi tadi dimulakan lebih awal serta berakhir kira-kira dua jam selepas waktu yang ditetapkan.

"Kita tutup jam 4 petang dan pengunjung terakhir yang bersalaman dengan saya pada jam 5 petang tadi," katanya.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada petugas yang menyediakan makanan dan menyambut tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Beliau turut menghargai pihak media yang menghebahkan Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berkenaan seminggu lebih awal yang mendorong kehadiran luar biasa itu.

Akibat pandemik COVID-19, rumah terbuka tahunan itu tidak dapat diadakan selama dua tahun. Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.

Berita Harian X