Ahad, 8 Mei 2022 | 4:42pm
Orang ramai memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, hari ini. Foto Bernama
Orang ramai memasuki pekarangan Kompleks Seri Perdana bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, hari ini. Foto Bernama

Majlis raya PM, jemaah menteri dilanjutkan hingga selesai

PUTRAJAYA: Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang sepatutnya berakhir jam 4 petang tadi, dilanjutkan sehingga selesai berikutan sambutan luar biasa yang diterima.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, keputusan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikutan tidak sampai hati melihat masih ramai Keluarga Malaysia yang menunggu giliran berhari raya.

Jurucakapnya berkata, ini kali pertama dalam sejarah apabila lebih 100,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri terutama selepas dua tahun tiada program sedemikian diadakan berikutan penularan COVID-19.

"Keluarga Malaysia mula beratur seawal jam 8 pagi menyebabkan program yang dijadualkan bermula jam 10 pagi diawalkan pada jam 9 pagi tadi.

"Perdana Menteri mengambil keputusan melanjutkan sehingga selesai meskipun majlis sepatutnya berakhir pada jam 4 petang tadi.

"Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ini mendapat sambutan luar biasa yang tidak dijangka," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di Laman Sari kira-kira jam 10 pagi tadi.

Beliau turut meluangkan masa bersalam-salaman dengan orang ramai yang hadir dan memberi duit duit raya kepada kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU).

Berita Harian X