Ahad, 8 Mei 2022 | 1:18pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) berkenan beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua, kiri) berkenan beramah mesra bersama orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana hari ini. - Foto BERNAMA

Rai Aidilfitri bersama, bukti Keluarga Malaysia akrab - Ismail Sabri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kehadiran pengunjung pelbagai latar belakang ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 untuk meraikan Aidilfitri bersama di Seri Perdana di sini hari ini, jelas membuktikan yang Keluarga Malaysia amat akrab.

Beliau berkata kemeriahan sambutan rumah terbuka kali ini cukup istimewa, memandangkan majlis itu tidak dapat diadakan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

"Inilah keistimewaan sebagai keluarga besar Keluarga Malaysia, begitu akrab di negara kita tanpa mengira kaum.

"Hari Raya Aidilfitri disambut meriah oleh seluruh rakyat Malaysia, begitu juga perayaan lain, hari ini semua hadir untuk wakili kaum masing-masing," katanya program rumah terbuka itu dapat menyatupadukan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata demikian dalam temu ramah bersama stesen televisyen tempatan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di sini hari ini.

Majlis dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri itu merupakan rumah terbuka pertama dihoskan Ismail Sabri selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos 2021, serta barisan Kabinet beliau.

Akibat pandemik COVID-19, rumah terbuka tahunan itu tidak dapat diadakan selama dua tahun. Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri 2022 berlangsung dari 9.30 pagi dan dijangka berakhir 4 petang.

Sementara itu, Ismail Sabri juga mengajak orang ramai untuk menggunakan bulan Syawal yang mulia itu untuk bermaafan secara ikhlas antara satu sama lain.

"Bermaaf-maafan bukan setakat kata-kata tetapi mestilah tidak mengulangi kesilapan, gunakan bulan ini untuk rapatkan hubungan," katanya.

Di kesempatan itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan pulang ke mana-mana destinasi, selepas berakhir cuti Hari Raya Aidilfitri.

"Saya percaya jalan sesak dan mungkin ada yang akan mengantuk, pastikan badan segar sebelum memulakan perjalanan. Jika penat atau mengantuk, elok berhenti dahulu dan tidur sekejap dan jangan memaksa diri hingga membahayakan diri," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X