Ahad, 8 Mei 2022 | 12:12pm

Agong hadir majlis raya PM, anggota Kabinet di Seri Perdana

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda ke Seri Perdana pada kira-kira jam 11.30 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Al-Sultan Abdullah kemudian diiringi ke bilik santapan khas untuk menikmati juadah tradisi ala desa.

Baginda kemudian berangkat ke khemah utama di Laman Sari untuk beramah mesra dengan rakyat yang hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu.

Diiringi Ismail Sabri, Al-Sultan Abdullah menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang teruja dengan kehadiran baginda dan turut memenuhi permintaan rakyat yang ingin berswafoto.

Sementara itu, Hissyamuddin Hassan, 39, yang juga bapa kepada kanak-kanak istimewa, Afif Khairullah Hissyamuddin, 7, terharu kerana baginda menyantuni anaknya yang menghidap Sindrom Dravet.

"Baginda berhenti di meja saya apabila melihat anak saya dalam 'stroller'. Baginda ada bertanya masalah anak dan saya jelaskan kepada baginda," katanya yang juga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Al-Sultan Abdullah meninggalkan majlis sambil melambaikan tangan kepada pengunjung, selepas meluangkan masa kira-kira satu jam.

Majlis dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri itu adalah rumah terbuka pertama dihoskan Ismail Sabri selepas dilantik Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak diadakan kerana pandemik COVID-19.

Kali terakhir ia diadakan pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau. - BERNAMA

Al-Sultan Abdullah diiringi Ismail Sabri (kanan) beramah mesra bersama tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/Asyraf Hamzah
Al-Sultan Abdullah diiringi Ismail Sabri (kanan) beramah mesra bersama tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X