Ahad, 8 Mei 2022 | 11:25am

Ismail Sabri, menteri rai tetamu rumah terbuka

PUTRAJAYA: Sambutan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, di sini, meriah dengan orang awam tiba seawal jam 7.30 pagi tadi.

Biarpun hanya dibenarkan masuk kira-kira dua jam kemudian, kebanyakan mereka sedia menunggu lebih awal di pintu masuk perkarangan Kompleks Seri Perdana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memakai baju melayu berwarna 'maroon' lengkap bersongkok dan bersampin serta isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di khemah utama Laman Sari pada jam 10 pagi dan terus menyantuni tetamu.

Ismail Sabri melayan tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ismail Sabri melayan tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Mereka bersama Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili kemudian bersalam dengan pengunjung di pentas khemah utama.

Kira-kira 70,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis yang berlangsung sehingga jam 4 petang ini yang menghidangkan kira-kira 40 juadah tempatan.

Orang ramai berbaris untuk menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Orang ramai berbaris untuk menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Orang ramai yang ingin berkunjung diminta meletakkan kenderaan di tiga lokasi, iaitu Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra sebelum menggunakan perkhidmatan bas percuma dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit.

Majlis yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri itu yang kali pertama dihoskan Ismail Sabri selepas beliau dilantik mengetuai kerajaan pada 20 Ogos 2021.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik COVID-19. Kali terakhir pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad serta barisan Kabinet beliau.

Ismail Sabri beramah mesra dengan tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ismail Sabri beramah mesra dengan tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Berikutan kehadiran yang menggalakkan, pintu pagar Kompleks Seri Perdana dibuka lebih awal iaitu pada 9.30 pagi. Tiga laluan disediakan untuk pengunjung memasuki Kompleks Seri Perdana, termasuk satu laluan dikhaskan buat warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung.

Petugas keselamatan mengulangi peringatan mengenai barangan yang dilarang dibawa masuk ke kawasan Seri Perdana, antaranya payung dan gunting. Pengunjung juga menjalani pemeriksaan imbasan tubuh sebelum dibenarkan masuk.

Pengunjung, Md Firus Khan Nizamuddin, 42, ditemani isteri, ibu mentua dan enam anaknya tiba dari Sungai Pinang, Pulau Pinang, kira-kira 7.30 pagi tadi bagi menghadiri majlis rumah terbuka berkenan.

"Ini kali keempat saya dan keluarga menghadiri rumah terbuka di Seri Perdana. Memang seronok dapat jumpa perdana menteri dan menteri yang biasa kita tengok di televisyen sahaja," katanya kepada BERNAMA.

Pemandu lori itu berkata, mereka bergerak dari Pulau Pinang malam tadi dan singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah untuk bersiap sedia sebelum sampai di Seri Perdana kira-kira 7.30 pagi dengan berpakaian sedondon warna biru.

R Selvi, 50, dari Kepong, adalah pengunjung tegar ke Seri Perdana, memandangkan telah pernah menghadiri majlis rumah terbuka Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri lebih 10 kali.

"Saya juga pernah bersalam dengan banyak pemimpin sebelum ini dan rasa teruja untuk melihat perdana menteri (Ismail Sabri) hari ini," katanya yang memakai baju tradisional India.

Ismail Sabri dan beberapa menteri menyambut tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Ismail Sabri dan beberapa menteri menyambut tetamu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X