Ahad, 8 Mei 2022 | 11:05am
Orang ramai mula berbaris untuk menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Orang ramai mula berbaris untuk menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Seri Perdana dikunjungi rakyat untuk rumah terbuka

PUTRAJAYA: Pintu pagar Kompleks Seri Perdana dibuka lebih awal iaitu pada 9.30 pagi hari ini, kepada pengunjung ke Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2022, berikutan kehadiran yang menggalakkan.

Pengunjung daripada pelbagai latar belakang telah tiba ke kawasan kompleks berkenaan seawal 7.30 pagi dan beratur di bawah khemah yang disediakan untuk menunggu giliran, sebelum dibenarkan masuk ke Laman Sari iaitu tapak majlis rumah terbuka berkenaan.

Majlis rumah terbuka itu adalah yang pertama dihoskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.

Jemputan yang dikeluarkan untuk majlis rumah terbuka tahun ini adalah dari 10 pagi hingga 4 petang. Majlis berkonsepkan ala kampung dan tetamu yang hadir disajikan dengan lebih 40 jenis hidangan tradisional, berkonsepkan layan diri.

Pada majlis itu, Ismail Sabri dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin menyantuni dan meraikan tetamu dan pengunjung di khemah utama di Laman Sari.

Antara menteri Kabinet yang turut menyantuni dan meraikan tetamu ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Dua tahun Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak dapat diadakan kerana pandemik COVID-19.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 2019 yang dihoskan oleh perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.

Terdapat tiga laluan disediakan untuk pengunjung untuk memasuki Kompleks Seri Perdana termasuk satu laluan dikhaskan buat warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung.

Petugas keselamatan mengulangi peringatan mengenai barangan yang dilarang dibawa masuk ke kawasan Seri Perdana antaranya payung dan gunting. Pengunjung juga menjalani pemeriksaan imbasan tubuh sebelum dibenarkan masuk.

Bas yang membawa pengunjung dari tiga 'drop point' utama iaitu Masjid Putra, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Putrajaya Sentral, dengan kekerapan setiap 15 minit dilihat menurunkan penumpang di hadapan Seri Perdana.

Md Firus Khan Nizamuddin, 42, yang ditemani isteri, ibu mentua dan enam anaknya, tiba dari Sungai Pinang, Pulau Pinang kira-kira 7.30 pagi tadi bagi menghadiri majlis rumah terbuka.

"Ini kali keempat saya dan keluarga menghadiri rumah terbuka di Seri Perdana. Memang seronok dapat jumpa perdana menteri dan menteri yang biasa kita tengok di televisyen sahaja," katanya kepada Bernama.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, mereka bergerak dari Pulau Pinang malam tadi dan singgah di kawasan Rehat dan Rawat Tapah untuk bersiap sedia, dan tiba di Seri Perdana kira-kira 7.30 pagi tadi dengan berpakaian sedondon warna biru.

R Selvi, 50, dari Kepong, Kuala Lumpur adalah pengunjung 'tegar' ke Seri Perdana, memandangkan telah pernah menghadiri majlis rumah terbuka Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri lebih 10 kali.

"Saya juga pernah bersalam dengan banyak pemimpin sebelum ini dan rasa teruja untuk melihat perdana menteri (Ismail Sabri) hari ini," katanya yang memakai baju tradisional India, 'Punjabi Suit'. – BERNAMA

Berita Harian X