Ahad, 8 Mei 2022 | 10:19am
Masjid Lama Kampung Terusan, Kuala Pilah selepas siap dibaik pulih. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR
Masjid Lama Kampung Terusan, Kuala Pilah selepas siap dibaik pulih. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR

Baik pulih masjid 180 tahun tinggalan Datuk Siamang Gagap

SEREMBAN: Masjid Lama Kampung Terusan Kuala Pilah, dekat sini, yang dianggap tertua di Negeri Sembilan kerana berusia lebih 180 tahun antara dua masjid warisan di negeri ini yang dibaik pulih bagi mengekalkan warisan bernilai tinggi itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata masjid berkenaan yang dibina pada 1840 dibaik pulih melalui Inisiatif Projek Bangunan dan Rumah Warisan Negeri Sembilan yang memperuntukan sebanyak RM4 juta bagi tempoh dua tahun sejak 2021.

Katanya, masjid berkenaan dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung dengan arkiteknya adalah Datuk Siamang Gagap, tokoh tersohor Negeri Sembilan.

"Antara ciri menarik masjid ini adalah jenang pintu yang rendah supaya jemaah berjalan sambil tunduk sebelum masuk masjid sebagai tanda hormat. Semoga pembaikan ini membolehkan generasi akan datang menikmati keindahan dan kehalusan seni bina warisan Negeri Sembilan yang bernilai tinggi," katanya.

Sebuah lagi masjid lama yang turut dibaik pulih menerusi inisiatif berkenaan ialah Masjid Warisan Kampung Kuala Serdang, Kuala Pilah dan tiga rumah lama, iaitu Rumah Warisan Puan Norami, Rembau; Rumah Warisan Puan Norlida, Kuala Pilah dan Rumah Warisan Puan Jalilah, Jelebu.

Aminuddin berkata, selain memastikan bangunan warisan berkenaan terpelihara dan terus kekal untuk tatapan generasi akan datang, ia juga berupaya menjadi sebahagian daripada produk pelancongan menarik di negeri ini.

"Kerajaan negeri berharap penduduk Negeri Sembilan menghargai keindahan serta warisan yang terdapat di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Norlida Idris, 59, menyambut baik langkah kerajaan negeri membaik pulih rumah keluarganya di Kampung Perigi Jernih, Senaling, Kuala Pilah, warisan keluarga yang kini berusia lebih 100 tahun.

"Rumah itu selalu menjadi tempat berkumpul ahli keluarga terutama pada musim perayaan Aidilfitri. Saya menyambut baik usaha kerajaan negeri memelihara rumah berkenaan kerana ia sentiasa menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong kerana keunikan seni binanya yang bernilai tinggi," katanya.

Berita Harian X