Ahad, 8 Mei 2022 | 9:46am

Teruskan khidmat tren khas musim raya - Menteri Besar

TUMPAT: Kerajaan Kelantan meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meneruskan perkhidmatan tren ekspres khas sempena perayaan bagi mengurangkan kesesakan trafik di negeri itu apabila perantau pulang ke kampung halaman.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata inisiatif itu dapat memenuhi permintaan perantau yang mencari kaedah alternatif untuk pulang ke kampung ketika cuti sambutan perayaan di negara ini.

"Kita sedia maklum bahawa aliran trafik di Pantai Timur sentiasa sesak lebih-lebih lagi di musim perayaan dan dengan tren khas ini, perjalanan pulang ke Kuala Lumpur menjadi lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia Aidilfitri di Stesen KTM Wakaf Bharu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha, di sini malam tadi.

EKM yang disediakan khas buat perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota yang bertolak pada jam 10.50 malam tadi menerima sambutan menggalakkan daripada penumpang.

Daripada 696 tempat duduk yang disediakan, sebanyak 803 tiket terjual untuk laluan Tumpat ke KL Sentral memandangkan ada penumpang yang turun naik di sepanjang 17 stesen sepanjang perjalanan.

Mohd Zain berkata, tren yang hanya dilancarkan malam tadi itu adalah sebagai inisiatif mengelakkan kesesakan jalan raya bagi perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota.

"Tren yang berlepas dari Stesen Tumpat pada jam 10.50 malam tadi dijangka tiba di KL Sentral pada jam 3.04 petang ini.

"Sejak dibuka jualan tiket pada 15 April lalu, dalam masa tiga jam ia sudah terjual kira-kira 70 peratus dan ini menunjukkan orang ramai sangat berminat untuk menggunakan perkhidmatan kereta api sebagai alternatif selain menikmati pengalaman menarik sepanjang perjalanan," katanya.

Beliau berkata, selain harga tambang yang berpatutan iaitu antara RM55 hingga RM83, tren khas ini menjadi pilihan dan mendapat sambutan berikutan dilengkapi kemudahan seperti koc tempat tidur, tandas dan kafe untuk keselesaan penumpang.

Katanya, sambutan menggalakkan itu boleh dijadikan penanda aras untuk meneruskan inisiatif itu di masa akan datang.

Bagi penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam, Ahmad Zulkifli Zakaria, 22, pengalaman untuk merasai perjalanan pulang ke Kajang, Selangor dengan menaiki kereta api sangat mengujakannya kerana kali pertama menggunakan perkhidmatan itu.

Dia berkata, jika hanya mengharapkan kenderaan di jalan raya sahaja, sama ada kenderaan persendirian atau bas ekspres, sudah pasti berdepan dengan kesesakan dan memakan masa yang lama untuk tiba ke destinasi yang dituju.

"Perjalanan dengan kereta api juga panjang tapi sekurang-kurangnya penumpang masih selesa dan dapat menikmati pemandangan sepanjang perjalanan atau boleh berehat di kafe," katanya.

Orang ramai menaiki Tren Ekspres Keluarga Malaysia (EKM) yang disediakan khas buat perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota malam tadi. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Orang ramai menaiki Tren Ekspres Keluarga Malaysia (EKM) yang disediakan khas buat perantau dari negeri ini kembali ke ibu kota malam tadi. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X