Sabtu, 7 Mei 2022 | 5:33pm
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui dalam temu bual khas di Wisma Putra, hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ditemui dalam temu bual khas di Wisma Putra, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia kecewa junta tidak iktiraf Utusan Khas ke Myanmar

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) – Malaysia menyuarakan kekecewaan dengan tindakan junta Myanmar tidak mengiktiraf Dr Noeleen Heyzer, Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSG) di Myanmar.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata disebabkan itu Noeleen tidak diundang ke mesyuarat perundingan ASEAN mengenai bantuan kemanusiaan kepada Myanmar di Phnom Penh, Kemboja pada Jumaat.

Malaysia bimbang dengan langkah terbaru Myanmar itu akan mengugat kelancaran proses Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN dalam mencari penyelesaian kepada kebuntuan politik di negara itu.

"Semalam dalam mesyuarat konsultasi ASEAN mengenai bantuan kemanusiaan ke Myanmar, semua wakil negara ASEAN hadir tetapi Noeleen tidak diundang ke mesyuarat itu kerana beliau tidak diiktiraf junta Myanmar.

"Ini adalah satu lagi contoh, nampaknya, Myanmar tidak beri kerjasama sebaiknya dalam melaksanakan 5PC," katanya pada sidang media di Wisma Putra di sini pada Ahad.

Saifuddin yang memetik statistik berkata 10,786 pertempuran bersenjata dan serangan ke atas orang awam di Myanmar berlaku dari 1 Feb 2021 hingga 15 April 2022, dengan 2,146 orang terbunuh dan 13,282 ditahan, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding negara konflik seperti Syria dan Yaman. – BERNAMA

Berita Harian X