Jumaat, 6 Mei 2022 | 5:22pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Hutan masih diceroboh walaupun CTT dipatuhi

KOTA BHARU: Pencerobohan hutan berbentuk pembalakan haram dikesan tetap berlaku walaupun semua negeri mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) hutan berdasarkan kuota tahunan ditetapkan kerajaan Persekutuan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata aspek pentadbiran dan pengurusan hutan adalah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Negeri di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang mengawal lesen pengeluaran.

Beliau menegaskan, Jabatan Perhutanan sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan dalam mengambil tindakan terhadap dalang pembalakan haram.

"Kita dapati belum ada negeri melangkaui catuan ditetapkan, tetapi kita tidak nafikan berlaku juga pembalakan haram.

"Itu tetap ada sebab dalam hutan dan kita bukan sentiasa berada di sana. Memang ada tetapi Jabatan Perhutanan membuat pemantauan dan mengambil tindakan ke atas pembalak haram ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menziarahi bekas jurulatih Kelantan FA yang juga penyerang prolifik negara era 1990-an, Hashim Mustapha, di kediamannya di Kampung Guchil Bayam di sini.

Takiyuddin berkata, pembalakan haram bukan hanya menyebabkan pokok ditebang tetapi juga menyumbang kepada pencemaran alam jika berlaku banjir.

Katanya, penguatkuasaan terhadap penebangan dan pembalakan haram akan ditingkatkan sebagai langkah memelihara hasil hutan.

Beliau berkata, hutan terbahagi kepada beberapa kategori iaitu Hutan Simpan Kekal (HSK) dan hutan perlindungan seperti taman hidupan liar serta taman negara.

Selain, itu, katanya, hutan pengeluaran adalah kawasan boleh diusahakan kerajaan negeri bagi mendapatkan hasil dengan memberi lesen penebangan.

"Ia diusahakan untuk mengeluarkan kayu-kayan dan hanya dibenar di hutan pengeluaran," katanya.

Berita Harian X