Jumaat, 6 Mei 2022 | 5:14pm
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
(Gambar fail) Foto hiasan - NSTP/MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK

Sultan Selangor larang kutip sumbangan di masjid, surau tanpa kebenaran MAIS

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, melarang individu atau kumpulan untuk memungut sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan serta manfaat umat Islam, kecuali dengan kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Individu ataupun kumpulan berkenaan termasuk pemilik sekolah swasta Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Larangan itu adalah susulan kebimbangan baginda adanya pihak mengambil kesempatan menggunakan wang sumbangan terbabit bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh, selain untuk menguatkan lagi kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Baginda juga tidak berkenan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata larangan itu termaktub bawah Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

"Adalah ditegaskan, tindakan mana-mana orang membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS, adalah suatu kesalahan bawah Subseksyen 106 (4) enakmen sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak, selain daripada untuk tujuan dan manfaat kepada masjid, surau serta musolla bawah pentadbiran masing-masing.

"Pada masa sama, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan sah hendaklah diaudit serta dilaporkan kepada JAIS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat sebarang sumbangan, bagi memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran itu tidak lagi berlaku di Selangor.

"Orang awam juga boleh menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang diuruskan oleh JAIS," katanya.

Berita Harian X