Jumaat, 6 Mei 2022 | 11:54am
Sultan Ibrahim bersama Hsien Loong pada majlis pengurniaan darjah kebesaran Istana Johor di Istana Besar Johor, di sini, hari ini. - Foto ihsan RPO
Sultan Ibrahim bersama Hsien Loong pada majlis pengurniaan darjah kebesaran Istana Johor di Istana Besar Johor, di sini, hari ini. - Foto ihsan RPO

Persahabatan Johor-Singapura kekal erat - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah pengurniaan darjah kebesaran tertinggi kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan erat Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama.

Sultan Ibrahim bertitah, hubungan Johor dan Singapura sudah terjalin sejak sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi daripada Istana Johor itu terus mengukuhkan hubungan dua hala.

"Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura di atas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor," titah baginda yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi hari ini.

Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Hsien Loong.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran itu diadakan dengan penuh istiadat dan berlangsung di Istana Besar Johor, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato' Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Hsien Loong.

Pada majlis istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada isteri Hsien Loong, Ho Ching yang membawa gelaran Datin Paduka.

Berita Harian X