Jumaat, 6 Mei 2022 | 7:27am
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara, semalam.-Foto Facebook Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Republik Turki, Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara, semalam.-Foto Facebook Istana Negara

Agong, Presiden Turki zahir kegembiraan hubungan kukuh dua hala

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan kegembiraan atas hubungan dua hala yang terjalin kukuh antara kedua negara dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan perdagangan.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, kegembiraan itu dikongsi kedua-dua pemimpin dalam perbualan telefon selama 20 minit yang bermula pada jam 5 petang itu.

Mengikut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Erdogan di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka juga telah menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan Lawatan Negara ke Turki pada suku ketiga tahun ini.

Seri Paduka dan Erdogan pada masa yang sama, turut bertukar ucapan selamat menyambut Aidilfitri.

"Seri Paduka Baginda, bagi pihak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, turut menzahirkan ucapan kepada Puan Yang Terutama Emine Erdogan, isteri kepada Presiden Republik Turki," menurut hantaran itu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Erdogan atas pembukaan Masjid Besar Hagia Sophia di Istanbul, buat kali pertama dalam 88 tahun untuk ibadah solat Tarawih bermula 1 April lepas dan menyifatkannya sebagai detik bersejarah kepada penganut agama Islam di Turki dan seluruh dunia.

Terdahulu, Seri Paduka turut berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan bertukar ucapan selamat menyambut Aidilfitri termasuk kepada ahli keluarga. – BERNAMA

Berita Harian X