Rabu, 4 Mei 2022 | 2:33pm
Norsah Chik, 59 (kiri), meninggal dunia jam 8.50 pagi semalam akibat kanser usus tahap empatdan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak selepas Asar. Gambar kanan, Mohd Fakri Abdullah, 60, meninggal dunia jam 8.50 malam, semalam akibat serangan jantung dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak jam 12.10 tengah malam. Foto Ihsan PEMBACA
Norsah Chik, 59 (kiri), meninggal dunia jam 8.50 pagi semalam akibat kanser usus tahap empatdan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak selepas Asar. Gambar kanan, Mohd Fakri Abdullah, 60, meninggal dunia jam 8.50 malam, semalam akibat serangan jantung dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak jam 12.10 tengah malam. Foto Ihsan PEMBACA

Ibu, bapa 'pergi selamanya' hampir serentak di hari raya

SUNGAI PETANI: Kehilangan dua insan tersayang pada hari sama dalam suasana Aidilfitri bukanlah sesuatu yang mudah diterima.

Namun, Farahana Mohd Fakri, 28, dan dua adik perempuannya tetap reda apabila ibu mereka, Norsah Chik, 59, dan bapa, Mohd Fakri Abdullah, 60, meninggal dunia selang 12 jam dalam suasana umat Islam sedang bergembira menyambut hari raya, semalam.

Norfarahana berkata, arwah ibu meninggal dunia jam 8.50 pagi di rumah mereka dekat Guar Chempedak selepas menderita kanser usus tahap empat, manakala arwah bapa pula jam 8.50 malam di hospital akibat serangan jantung.

Beliau berkata, pada 5 Mac lalu, arwah ibunya sebelum itu pada 5 Mac lalu dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Yan selepas matanya mengalami kuning selain fizikalnya yang terlalu kurus.

"Ibu kemudian dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum doktor yang melakukan pemeriksaan memberitahu yang arwah menghidap kanser usus tahap empat.

"Doktor pada mulanya mahu melakukan pembedahan, namun selepas perbincangan, kami tiga beradik mengambil keputusan untuk membawa ibu pulang dan menjaganya secara bergilir-gilir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norfarahana berkata, mereka menjaga ibu sehingga arwah menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam, sebelum dimaklumkan bapa pula meninggal dunia 12 jam selepas itu.

"Malam sebelum ibu meninggal dunia, adik seperti biasa ke bilik tidurnya dan ketika itu dia melihat arwah sudah dalam keadaan lemah dan berbaring dengan kakinya menghadap kiblat.

"Kami adik beradik kemudian membaca surah Yassin sehinggalah arwah akhirnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga dan kami reda dengan pemergiannya," katanya.

Menurutnya, ketika sibuk menguruskan jenazah ibu, dia dihubungi doktor yang memintanya supaya datang segera ke hospital kerana keadaan bapa yang sudah nazak ketika itu.

"Sebaik tiba di hospital, saya sempat meminta maaf kepada bapa, selain turut memberitahunya yang ibu sudah meninggal dunia walaupun bapa ketika itu tidak sedarkan diri.

"Bagaimanapun, bapa disahkan meninggal dunia jam 8.50 malam oleh doktor akibat serangan jantung dan kami sekeluarga reda dengan pemergian dua insan tercinta pada hari yang sama," katanya.

Menurutnya, arwah bapa dimasukkan ke HSAH malam Sabtu lalu selepas mengadu sakit dada sebelum dia ditidurkan ketika menjalani rawatan.

"Arwah bapa sempat menghubungi saya sebelum berbuka puasa memaklumkan yang dia dalam perjalanan ke hospital bersama rakannya kerana sakit dada.

"Saya sempat bertemu dengannya di hospital sebelum dia ditidurkan dan doktor ketika itu sudah memberitahu yang keadaan bapa sangat teruk dan risiko untuk meninggal dunia agak tinggi," katanya.

Jenazah Allahyarhamah Norsiah dikebumi selepas Asar manakala jenazah Allahyarham Mohd Fakri dikebumikan jam 12.10 tengah malam di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak.

Kedua-dua jenazah dikebumikan bersebelahan antara satu sama lain dengan turut mendapatkan khidmat Skuad Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (MADAD) bagi memudahkan urusan pengebumian dilakukan.

Berita Harian X