Selasa, 3 Mei 2022 | 12:58pm
Keadaan jeti berhampiran Pos PGA Gading-Gading, Semporna yang runtuh dan menyebabkan dua remaja lemas. - Foto IHSAN PDRM
Keadaan jeti berhampiran Pos PGA Gading-Gading, Semporna yang runtuh dan menyebabkan dua remaja lemas. - Foto IHSAN PDRM

Jeti runtuh, dua remaja maut

SEMPORNA: Dua remaja lemas selepas sebuah jeti berhampiran Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Gading-Gading dekat sini runtuh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, lapan remaja masing-masing berusia antara 11 hingga 19 tahun, dipercayai berkumpul dan berehat di pondok jeti berkenaan sebelum jatuh ke laut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata enam mangsa membabitkan empat remaja lelaki dan dua remaja perempuan sempat diselamatkan manakala dua lagi dilaporkan hilang.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dan turut dibantu penduduk kampung.

"Selepas lebih 30 minit SAR dijalankan, dua remaja lelaki masing-masing berumur 14 dan 19 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Kedua-dua mangsa diberi bantuan kecemasan oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 petang," katanya.

Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengenal pasti punca kejadian.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan jawatankuasa kampung supaya membuat pemeriksaan ke atas jeti di kampung masing-masing bagi memastikan keselamatan pengguna.

Berita Harian X