Selasa, 3 Mei 2022 | 10:27am
Orang ramai kelihatan tidak memakai pelitup muka di tempat awam susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 diumumkan, namun masih ramai tetap mengambil langkah berjaga-jaga. - NSTP / DANIAL SAAD
Orang ramai kelihatan tidak memakai pelitup muka di tempat awam susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 diumumkan, namun masih ramai tetap mengambil langkah berjaga-jaga. - NSTP / DANIAL SAAD

Trend jangkitan COVID-19 menurun hampir seminggu

KUALA LUMPUR: Angka jangkitan harian COVID-19 dalam negara terus mencatatkan penurunan sejak kira-kira seminggu lalu, dengan terkini semalam 1,352 kes baharu direkodkan termasuk empat kes import.

Ia juga hari kedua berturut-turut angka jangkitan harian dicatatkan di bawah 2,000 kes.

Laman sesawang COVIDNOW melaporkan trend penurunan dicatat bermula Khamis dengan 2,935 kes berbanding 3,471 kes pada Rabu, diikuti Jumaat (2,579 kes), Sabtu (2,107 kes) dan kelmarin (1,503 kes)

Ia menjadikan kumulatif jangkitan COVID-19 dalam negara sehingga kini kepada 4,450,859 kes, dengan 36,440 kes masih aktif selepas 6,074 lagi kes sembuh direkodkan semalam.

Selain angka jangkitan harian, trend penurunan selama beberapa hari turut direkodkan dalam angka kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bilangan pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Semalam juga, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan enam kematian akibat COVID-19 termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Tiga kematian itu dilaporkan di Selangor, manakala dua lagi di Sarawak termasuk satu kes BID dan baki satu lagi di Perak.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan 43,078 kematian akibat COVID-19 dicatatkan di negara ini dengan 7,523 kes BID.

Sehingga semalam juga, seramai 35,439 daripada keseluruhan kes aktif atau 97.3 peratus menjalani kuarantin kendiri di kediaman masing-masing, manakala 930 pesakit ditempatkan di hospital termasuk 22 di ICU dan lima lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) pula seramai 22 orang atau 0.1 peratus namun tidak memerlukan alat bantuan pernafasan sementara 44 pesakit atau 0.1 peratus memerlukan alat bantuan itu.

Berita Harian X