Isnin, 2 Mei 2022 | 5:47pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri), Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan).

Pemimpin politik syukur suasana Aidilfitri hampir normal

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti politik menzahirkan kesyukuran kerana Aidilfitri tahun ini dapat disambut dalam suasana hampir normal, selepas dua tahun terkesan dengan pandemik COVID-19.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Ramadan dan Syawal ini disambut hampir seperti biasa dengan orang ramai boleh melakukan ibadah serta mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara ketika Aidilfitri.

"Hari Raya kali ini, kita dapat bersama ibu bapa dan sanak saudara tercinta, bersalam-salaman serta bermaaf-maafan.

"Kita dapat solat berjemaah Hari Raya, berkunjung ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga yang dahulunya 'dalam talian', kini sudah di depan mata," kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu dalam hantaran video melalui Facebook beliau, hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam hantaran melalui Facebook beliau pula berharap rakyat dapat memanfaatkan waktu perayaan bersama keluarga, terutama bagi mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa.

"Sambutan Hari Raya kali ini agak cemerlang kalau kita bandingkan dengan dua tahun sengsara tidak bersama keluarga.

"Jadi, manfaatkanlah waktu ini bersama keluarga, terutama yang ada ibu bapa bagi mencurahkan kasih sayang dan kemudian silaturahim dengan sahabat handai," katanya.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu pula menasihati rakyat agar bersederhana dan menjaga keselamatan diri ketika musim perayaan.

Sementara itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang musim perayaan ini.

"Di samping kita meraikan Hari Raya bersama keluarga, marilah kita berdoa semoga pegawai dan anggota yang bertugas pada Aidilfitri ini sentiasa sihat serta selamat menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara," katanya menerusi Facebook beliau. – BERNAMA

Berita Harian X